Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kementerian Luar sedang memantau perkembangan di Lubnan dengan teliti, sekali gus mengesahkan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas setakat ini akibat tembakan di selatan negara itu, baru-baru ini.

Sambil menjelaskan keadaan bagaimanapun masih tidak menentu, kementerian itu berkata, pihaknya sedang giat berkomunikasi dengan Kedutaan Malaysia di Beirut, Kementerian Pertahanan Malaysia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menilai status serta keselamatan Batalion Pengaman Malaysia (MALBATT) 850-11 yang ditempatkan di Tibnin dan Marakah serta rakyat Malaysia lain di Lubnan.

Kementerian itu menggesa semua rakyat Malaysia yang bukan sebahagian daripada MALBATT dan memilih untuk kekal berada di Lubnan, agar sentiasa berhubung dengan kedutaan serta mematuhi dengan tegas sebarang panduan dan arahan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Mereka yang belum berdaftar dengan kedutaan pula amat digalakkan untuk berbuat demikian dengan segera untuk memastikan mereka menerima kemas kini dan sokongan tepat pada masanya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut kementerian itu lagi, pihaknya akan terus memantau keadaan dengan teliti dan memberi maklumat terkini yang perlu untuk memastikan keselamatan serta kesejahteraan semua rakyat Malaysia di Lubnan.

Ia menasihati rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular atau maklumat lanjut supaya menghubungi Kedutaan Malaysia di Beirut yang terletak di Lot 170, Saad Zaghloul Street, Downtown, Beirut, Lubnan, atau melalui panggilan telefon +961 71 380 063 atau +961 76 772 527 atau menerusi e-mel: mwbeirut@kln.gov.my. – BERNAMA