Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kejatuhan ketara pasaran saham Malaysia dan Asia ketika ini adalah bersifat sementara, dan dijangka melantun semula.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata apa yang paling penting ialah situasi ekonomi sebenar kerana Malaysia ketika ini menunjukkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang kukuh.

Katanya, jika dilihat kejatuhan saham bukan berlaku di Malaysia sahaja, tetapi di seluruh dunia kerana ada beberapa peristiwa yang berlaku termasuk unjuran daripada Amerika Syarikat (AS) yang menyaksikan kadar pengangguran meninggi sikit dan menyebabkan tahap keyakinan telah menurun. 

Penanda aras pasaran saham tempatan iaitu FBM KLCI setakat jam 12 tengahari hari ini melantun semula dengan kenaikan 29.03 mata atau 1.85 peratus kepada 1,565.930. Peningkatan itu berlaku di sebalik kejatuhan Wall Street sebanyak 1,033.95 atau 2.60 peratus semalaman.

“Terdapat jangkaan AS akan memotong kadar faedah. Kita juga nampak kadang-kadang ada pelabur yang sudah mengambil ‘trading position’ dan ‘resettle trading position’, jadi pasaran turun kerana ‘resettlement’ yang berlaku. 

“Tetapi ini bersifat jangka pendek dan kadang-kadang pembetulan besar pasaran (seperti semalam) akan berlaku. Kita nampak Bursa Malaysia hari ini sudah kembali meningkat.

“Jadi kita berharap pada ekonomi sebenar yang adalah paling penting. Sebab itu kita tengok dari segi KDNK ini semua, (ekonomi) Malaysia sememangnya kukuh dan sedang berada di atas landasan yang baik dan akan terus berkembang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan KWAP Inspire 2024 di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Datuk Nik Amlizan Mohamed.

Pada penutupan semalam, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 74.57 mata atau 4.62 peratus kepada 1,536.48 daripada 1,611.05 pada Jumaat.

Sementara itu ditanya mengenai prestasi ringgit Amir Hamzah berkata, beliau percaya pengukuhan mata wang tempatan itu bukan semata-mata disebabkan oleh langkah AS mahu memotong kadar faedah mereka.

“(Tetapi) turut disumbang oleh usaha-usaha baik yang dilakukan kerajaan menyebabkan tahap keyakinan kepada Malaysia sudah meningkat dan kerana itulah kita nampak perkembangan baik kepada ringgit.

“Seperti apa yang kerajaan berusaha sepanjang tahun ini, kita berusaha untuk membuat dasar-dasar yang akan mengukuhkan ekonomi. Di bawah dasar ekonomi Madani kita fokus untuk naikkan siling supaya kita boleh tarik banyak perniagaan masuk ke dalam Malaysia.

“Dan kita pernah nampak dari segi kenaikan ekonomi, pada suku kedua jangkaan KDNK telah naik kepada 5.8 peratus dan kalau ambil purata dengan suku pertama akan jadi 5.0 peratus, iaitu tahap tertinggi pada unjuran Kementerian Kewangan untuk prestasi KDNK tahun ini. Jadi kita nampaklah ada banyak perkembangan baik yang telah terjadi,” katanya.