Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kadar peningkatan ringgit yang dicatatkan negara kini, akan disumbangkan semula kepada rakyat melalui projek yang menyantuni mereka secara langsung. 

Perdana Menteri berkata, pihaknya melihat tiada erti kekuatan ringgit dan pelaburan dari luar yang masuk ke negara ini, sekiranya ia tidak memberi faedah langsung kepada rakyat.

“Apa erti kekuatan ringgit dan pelaburan yang masuk, jika ia tidak memberi faedah langsung kepada rakyat, apa yang dirasai mereka, sebab itu di Wilayah Persekutuan, saya menekankan mesti beri penekanan kepada projek yang menyantuni rakyat secara langsung. 

“Bangunan pencakar langit sudah banyak, jika ada sektor swasta ingin bangunkan silakan, …tapi kerajaan tidak menjadikan ini keutamaan lagi. 

“Saya tidak mahu bermegah kerana Malaysia ini atau Kuala Lumpur mempunyai bangunan tinggi dan hebat, terkemuka di dunia, sebaliknya saya mahu tumpuan jabatan wilayah dan semua kementerian menjaga kebersihan warung, gerai dan restoran gerai umpamanya,” katanya berucap dalam ucapan peluncuran Perumahan Penjawat Awam Malaysia MADANI (PPAM MADANI), di Bandar Sri Permaisuri, hari ini. 

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang juga isteri Perdana Menteri,Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. 

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, tumpuan perlu diberikan dalam aspek menaiktaraf gerai, warung dan restoran kecil kerana ia disantuni majoriti 70 hingga 80 peratus warga kota. 

Hingga kini puluhan gerai sudah berjaya dinaiktaraf oleh Jabatan Wilayah Persekutuan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menjadi lebih indah dan bersih, selari dengan negara MADANI.

Semalam, Perdana Menteri dilaporkan berkata, prestasi ringgit kini yang baik adalah disebabkan dasar kukuh negara, serta hubungan diplomatik dan ekonomi yang teguh dengan negara lain. 

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri berkata, terma terbaik itu adalah membabitkan kadar peningkatan dan bukannya ringgit itu adalah terbaik di Asia. 

Beliau berkata, pencapaian itu disumbangkan banyak pihak iaitu selain kestabilan politik dan dasar yang jelas, penjawat awam yang berdedikasi serta sektor swasta turut memainkan peranan.

Ringgit dibuka kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) disebabkan prospek penurunan kadar faedah AS semakin ketara, kata seorang penganalisis. 

Pada 8 pagi, ringgit naik kepada 4.4200/4300 berbanding dolar AS daripada 4.4240/4305 pada Isnin. 

Tahun ini, ringgit mencatatkan kenaikan yang memberangsangkan, meningkat 4.1 peratus berbanding dolar US, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid kepada Bernama. 

“Dalam pada itu, ringgit melonjak berbanding mata wang serantau, naik 10.5 peratus berbanding won Korea Selatan, 9.5 peratus berbanding rupiah Indonesia, 8.6 peratus berbanding peso Filipina, 7.8 peratus berbanding baht Thailand dan 4.4 peratus berbanding dolar Singapura. 

“Bagaimanapun, aktiviti pengambilan untung yang tidak menentu mungkin berlaku kerana peniaga mungkin terdorong mengambil keuntungan untuk sementara waktu,” katanya.

Mohd Afzanizam menjangkakan ringgit kekal sekitar RM4.42 hingga RM4.43 berbanding dolar AS hari ini.-BH Online