Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Terengganu: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyasarkan lebih 30 koperasi sekolah di seluruh negara mampu mencapai perolehan lebih RM1 juta pada tahun depan.

Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, sasaran itu mampu dicapai memandangkan koperasi sekolah pada masa ini giat terbabit dalam sektor perniagaan.

Beliau berkata, sasaran diletakkan pihaknya sebelum ini yang menyasarkan sebanyak 30 koperasi sekolah merekodkan perolehan melebihi RM1 juta pada tahun ini sudah tercapai.

“Tahun ini untuk akaun 2023, kita sudah dapat capai sasaran dan dijangka jumlah koperasi sekolah yang akan memperoleh perolehan lebih RM1 juta mampu melebihi 30 buah koperasi sekolah pada tahun depan.

“Sekarang ini, koperasi-koperasi sekolah yang berada pada tahap RM800,000 dan ke atas (perolehan) banyak, sebab itu kita yakin tahun depan, lebih banyak koperasi mampu mencapai perolehan melebihi RM1 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Perasmian dan Pengiktirafan Perolehan RM1 Juta Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Kuala Terengganu Berhad di SMK Sultan Ahmad Kampung Losong di sini, hari ini.

Terdahulu, Abdul Fattah menyampaikan sijil pengiktirafan kepada Koperasi SMK Sultan Ahmad Kuala Terengganu Berhad yang menjadi sekolah pertama di Terengganu mencapai perolehan RM1 juta.

Abdul Fattah berkata, kejayaan koperasi sekolah itu membuktikan bahawa pelajar sekolah boleh menguruskan perniagaan sehingga mampu mencapai perolehan melebihi RM1 juta bersama guru yang ada.

Katanya, koperasi sekolah menjadi platform terbaik untuk melahirkan usahawan pada masa akan datang.

“Pada 2023, terdapat sebanyak 15,809 buah di seluruh negara dengan 2,490 daripadanya adalah koperasi sekolah membabitkan keahlian lebih 2 juta orang.

“Daripada jumlah itu, ia membabitkan aset bernilai RM475.17 juta dengan perolehan sebanyak RM430.42 juta.

“Bagi tahun ini, saya yakin perolehan koperasi sekolah mampu mencapai RM500 juta,” katanya.-Harian Metro Online