Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kejayaan Malaysia mendapat pelbagai pengiktirafan dan kemajuan daripada segi ekonomi serta pertumbuhan termasuk pengukuhan ringgit kebelakangan ini, banyak dibantu oleh prestasi perkhidmatan awam, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri bagaimanapun mengingatkan, di sebalik kejayaan itu, masih ada ruang untuk meningkatkan kecekapan dan memperbaiki kelemahan yang ada supaya negara dapat menuju ke arah lebih baik.

“Kejayaan ini tentunya kerana politiknya lebih stabil, kemudian dasar dan kerangka lebih jelas.

“Tetapi satu elemen sangat penting untuk dijelaskan ialah kerana kita mempunyai budaya tradisi perkhidmatan awam yang banyak berusaha membantu meningkatkan prestasi dan menjamin kejayaan (negara),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Turut hadir, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Tanpa komitmen penjawat awam, Perdana Menteri berkata, dasar MADANI tidak mungkin terangkum, sukar ekonomi negara mencatat kejayaan, pelaburan tidak akan datang mencurah, malah projek tidak dapat dilaksanakan.

Katanya, kerajaan bernasib baik kerana mempunyai penjawat awam yang komited melaksanakan tugas mereka.

“Selalunya kita lihat di media, yang ditegur itu adalah kelemahan, masalah lambat, ketirisan, betul saya tak nafikan tetapi apa kurang diberi tumpuan ialah bahawa majoriti (penjawat awam) memberi khidmat.

“Khidmat yang diberikan bukan hanya sebagai penjawat awam dalam erti kata mengikut waktu dan tugas tetapi mencurah seluruh bakti dan tenaga mereka untuk nusa dan bangsa,” katanya.

Beliau berkata, tidak dinafikan pada awal kerajaan baharu mengambil alih pentadbiran, berlaku kejutan dalam sistem politik di Malaysia, berdepan sedikit kesukaran disebabkan keadaan negara terumbang-ambing pada tahun sebelumnya.

“Kemudian saya datang dengan pandangan agak tegas, dengan cara kerja lebih keras, tentunya ia mengambil waktu, tetapi memang benar dalam penjawat awam ia mengambil masa untuk melihat komitmen dan peralihan itu,” katanya.-BH Online