Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Lebih 21,000 penjawat awam Selangor bakal menerima kadar baharu kenaikan gaji selaras dengan pengumuman yang akan dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijadualkan sebelum pembentangan Belanjawan 2025.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata kadar baharu itu bergantung kepada jumlah yang ditetapkan oleh kerajaan Persekutuan selepas ini.

“Kita akan ikut (beri kenaikan gaji peringkat Persekutuan), sebagaimana saya sebut kita akan ikut.

“Kita lihat dulu kadar (kenaikan) yang telah ditetapkan oleh kerajaan Persekutuan..Kita akan cuba ‘adapt’ dengan rizab (kewangan) yang kita ada…Insya-Allah.

“(Pelaksanaan kadar kenaikan) …ini membabitkan seramai lebih 21,000 penjawat awam di Selangor, ” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri di Auditorium Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim, barisan Exco kerajaan negeri.

Pada 3 Mei lalu, Amirudin dilaporkan berkata, pelarasan gaji kakitangan awam Selangor akan dilaksanakan setelah kerajaan negeri mendapat pekeliling kenaikan gaji penjawat awam daripada kerajaan Persekutuan. 

Sebelum ini, Perdana Menteri dilaporkan berkata kadar baharu kenaikan gaji bagi penjawat awam akan diumumkan sebelum pembentangan Belanjawan 2025 yang dijadualkan pada Oktober ini.

Kali terakhir kadar baharu kenaikan gaji penjawat awam diumumkan adalah sekitar 13 peratus pada 2013.-BH Online