Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEREMBAN: Kementerian Pengangkutan akan memastikan tindakan paling tegas dikenakan ke atas pemandu dan pemilik syarikat yang terbabit dalam kemalangan maut, terutama membabitkan pemandu yang dipengaruhi dadah.

Menterinya, Anthony Loke, berkata langkah itu perlu sebagai pengajaran kepada pemandu dan syarikat yang didapati cuai dengan melanggar undang-undang sehingga mengorbankan orang lain.

Selain pemandu, katanya, pemilik syarikat bakal dikenakan tindakan tegas termasuk pendakwaan oleh pihak berkuasa jika terbukti mereka lalai.

“Saya hendak mengingatkan bukan sahaja pemandu tetapi pemilik syarikat juga ada tanggungjawab dengan memastikan pemandu mereka bebas daripada pengaruh dadah.

“Jika didapati mereka lalai sehingga boleh mengakibatkan kemalangan maut, tindakan undang-undang akan diambil.

“Dalam kes kemalangan membabitkan sebuah treler yang dipandu pemandu positif dadah di Pekan dan mengakibatkan dua maut, kita akan mengambil tindakan terhadap pemilik syarikat.

“Saya akan arahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan pendakwaan terhadap pemilik syarikat itu kerana pemilik lesen juga ada tanggungjawab,” katanya, di sini semalam.

Loke mengulas kejadian kemalangan membabitkan seorang pemandu treler dipercayai di bawah pengaruh dadah merempuh sebuah rumah menyebabkan dua beradik maut di Kilometer 5 Jalan Pekan-Rompin dekat Kampung Ketapang Hilir, Pekan, semalam.

Mereka yang meninggal dunia ialah Nurnazatul Fasiha Nasruddin, 33, maut di tempat kejadian, manakala adiknya, Mohd Waldon Faris Nasruddin, 25 meninggal dunia pada jam 1.30 tengah hari, semalam.

Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban itu berkata, tindakan penggantungan dan penarikan lesen terhadap syarikat juga akan diambil.

“Sebenarnya, tindakan penggantungan dan penarikan lesen terhadap individu dan majikan sudah banyak kali dilakukan. Tapi malangnya kes ini masih berlaku, seolah-olah mereka hendak mencabar kedaulatan undang-undang negara kita.

“Kita mengambil serius terhadap insiden ini dan kemalangan-kemalangan lain yang berlaku. Mesej saya tindakan penguatkuasaan yang tegas akan terus dilakukan.

“JPJ sudah diminta tidak berhenti melakukan tindakan penguatkuasaan secara bersepadu sebaliknya tindakan agresif itu perlu diadakan sepanjang masa di seluruh negara,” katanya.