Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KULAI: Penyokong, ahli dan pemimpin BERSATU Kelantan didakwa kecewa dengan ‘silap mata’ PAS dalam meletakkan calon Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, 17 Ogos nanti.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata perkara itu dikesan selepas beliau meninjau dan turun padang ke lapan daripada 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM) DUN Nenggiri.

“Saya pergi ke lapan daripada 20 PDM (DUN Nenggiri), berjumpa dengan pelbagai pihak dan saya melihat sentimen rasa ditipu oleh PAS dalam kalangan ahli-ahli BERSATU itu sememangnya berlaku.

“Ini kerana kerusi (DUN Nenggiri) dimenangi BERSATU dan kebanyakan penyokong, ahli dalam kalangan pemimpin BERSATU (Kelantan) rasa amat kecewa dengan silap mata yang dibuat PAS. 

“Soal perbalahan dalaman dalam kalangan BERSATU dan PAS itu, jika sesiapa juga yang nak berikan sokongan kepada UNNO memang kita amat-amat alu-alukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kulai, di sini, malam tadi.

Pada 29 Julai lalu, PN dilaporkan mengumumkan bekas pegawai tentera laut, Mohd Rizwadi Ismail, sebagai calon yang akan mewakili gabungan itu bagi menghadapi PRK Nenggiri.

Rizwadi sebelum ini adalah ahli PAS dan pernah menjawat jawatan Timbalan Ketua Pemuda PAS Gua Musang.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan Mohd Rizwadi, sebagai calon PAS pada 17 Ogos ini.

Semalam, seramai 480 ahli BERSATU di DUN Nenggiri, dilaporkan mengambil keputusan beralih sokongan kepada UMNO.

Mereka semua adalah ahli daripada 12 cawangan BERSATU yang terdapat di DUN berkenaan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata tindakan diambil oleh 480 ahli itu adalah kerana sudah hilang kepercayaan kepada BERSATU.-BH Online