Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

CYBERJAYA: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menafikan kerajaan tidak mengadakan libat urus atau sesi penjelasan bersama pembangkang mengenai kerangka kawal selia untuk penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial. 

Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan sudah mengadakan tiga kali sesi libat urus, sebelum pengumuman dibuat.

“Tidak betul (dakwaan tiada libat urus pembangkang) kerana kita adakan sekurang-kurangnya tiga kali dan saya difahamkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menjalankan lagi sesi libat urus selepas beberapa perkara diputuskan secara dalaman dari segi proses, garis masa. 

“Perkara itu akan diumumkan pada pertengahan minggu hadapan oleh pihak MCMC sendiri,” katanya selepas merasmikan Sidang Anak Muda K2K, sempena hari kemerdekaan, hari ini. 

Semalam, Ketua Portfolio Komunikasi Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Wan Saiful Wan Jan dilaporkan menggesa kerajaan memberikan lebih banyak penjelasan mengenai kerangka itu, selain turut membabitkan pembangkang (PN) dalam sesi libat urus. 

“Saya juga minta kerajaan babitkan PN dalam libat urus yang akan dijalankan. Jangan buat seperti draf Majlis Media Kebangsaan yang tidak membabitkan kami langsung. 

“Libatkan kami dalam libat urus berkaitan peraturan pelesenan yang akan dimulakan. Pada masa sama, libatkan juga semua pihak (yang berkaitan), jangan ada yang tertinggal. Mesti dengar pandangan semua pihak, jangan buat libat urus sebagai ‘sekadar untuk penuhi syarat’ tetapi buat betul-betul dan perbaiki mana yang perlu,” katanya. 

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kerajaan mengalu-alukan pandangan daripada semua pihak termasuk pembangkang.

“Bagaimanapun perkara yang penting sekali adalah keadaan di mana platform media sosial ini boleh mengaut keuntungan yang sangat besar menerusi pengiklanan yang dilakukan. 

“Keuntungan yang diambil daripada Malaysia adalah besar dan kita mahu ia dikembalikan kepada rakyat kita,” katanya.-BH Online