Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PASIR MAS: Malaysia komited mahu membantu menyelesaikan rundingan Dialog Damai Selatan Thailand, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim

Perdana Menteri bagaimanapun berkata, segala cadangan daripada Malaysia diserahkan kepada Thailand.

Katanya, Malaysia hanya berperanan sebagai pemangkin dan paling penting kerajaan Thailand dan Malaysia mahu menyelesaikan proses dialog damai berkenaan.

“Isu rundingan damai Selatan Thailand bukan isu Malaysia sebaliknya isu domestik Thailand. Hubungan baik Malaysia dan Thailand menyebabkan mereka meminta kerjasama kita.

“Kita sudah memberi komitmen apa sahaja yang perlu sama ada dari segi ekonomi, keselamatan dan sebagainya,” katanya pada sidang media sempena Lawatan Kerja di Rantau Panjang, Kelantan dan Sungai Golok, Thailand, hari ini. 

Media sebelum ini melaporkan, bekas Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohd Rabin Basir dilantik sebagai Fasilitator Kerajaan Malaysia yang baharu bagi Proses Dialog Damai Selatan Thailand berkuat kuasa 1 Julai lalu.

Dalam kenyataan pelantikan itu, kerajaan yakin terhadap keupayaan Mohd Rabin untuk merealisasikan misi dengan baik, berkesan dan mampu mencapai dampak yang positif serta signifikan kepada Proses Dialog Damai Selatan Thailand itu.

Perlantikan Mohd Rabin bagi menggantikan Jeneral Prof Tan Sri Panglima (B) Zulkifli Zainal Abidin yang menamatkan tugas sebagai fasilitator itu pada 30 Jun lalu.-BH Online