Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Draf memorandum persefahaman (MoU) membabitkan peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang sudah siap dan sedia diserahkan oleh kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata beliau sudah mengarahkan pegawainya untuk menyerahkan draf berkenaan kepada Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Katanya, sekiranya pihak pembangkang bersetuju dengan persefahaman itu, mereka akan menubuhkan satu jawatankuasa mesyuarat untuk ke tahap seterusnya.

“Draf perjanjian akan diserahkan kepada Takiyuddin untuk diambil maklum dan jika bersetuju, kita akan ‘set’ (tubuhkan) jawatankuasa mesyuarat antara pembangkang dan kerajaan dalam masa terdekat ini.

“Perjanjian ini juga sudah sedia dan saya akan bagi arahan kepada pegawai (untuk diserahkan,” katanya selepas merasmikan program Car Free Day (CFD), di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan media mengenai arahan Perdana Menteri untuk peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang segera diselesaikan.

Bulan lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu agihan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang tidak seharusnya menjadi isu rumit untuk diselesaikan.

Katanya, ia memandangkan syarat ditetapkan kepada mana-mana ahli Parlimen pembangkang yang mahu memperoleh peruntukan adalah syarat asas dan proses biasa dalam mana-mana rundingan dan amalan demokrasi.

Pada Mei lalu, Fadillah berkata draf MoU berkaitan penyaluran peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang sedang dimuktamadkan, antara lain akan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan dan memulihkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.

Sebaik saja draf terbabit siap, beliau berkata ia akan diserahkan kepada majlis tertinggi semua parti politik kerajaan dan pembangkang untuk diluluskan.-BH Online