Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Bank digital tempatan perlu melakukan perubahan dengan kadar pantas dan pesat supaya dapat bergerak ke tahap yang lebih maju dan tidak ketinggalan dalam proses transformasi digital, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, negara harus beralih ke arah satu tahap yang lebih maju dan menyakinkan selain menerokai suatu yang baharu, belum dikuasai, dimiliki dan difahami oleh masyarakat.

“Disebabkan itu, dalam soal bank digital ini, arahan kita ia perlu diberi laluan pantas supaya mereka dapat bergerak maju dalam masa yang lebih cepat. 

“Kita bukan hendak menjadi paling awal, namun dalam kalangan negara rantau kita bukan awal (dalam bidang bank digital), kita ketinggalan. 

“Oleh itu, cabaran untuk bank digital lain termasuk GXBank, saya sarankan untuk melakukan perubahan itu dalam kadar yang lebih laju dan pesat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian ibu pejabat GXBank dan pelancaran Pusat Kecemerlangan GXBank di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI), Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Ia turut dihadiri Ketua Eksekutif Grab Holdings, Anthony Tan dan Ketua Eksekutif GXBank, Lai Pei-Si.

Anwar turut menekankan kerajaan, melalui MITI serta Kementerian Digital memberikan sokongan supaya bank digital tidak lagi terhambat dan terhalang dengan peraturan dan proses yang lama. 

“Cabaran untuk GXBank dan bank digital lain ialah melakukan perubahan itu dalam kadar yang lebih laju dan pesat. 

Saya yakin seluruh keluarga GXBank ini akan menyahut cabaran ini dengan berani,” katanya.

GXBank, yang dibangunkan oleh Grab, adalah berasaskan teknologi dan didorong syarikat induknya dalam memberi kesan ekonomi dan sosial serantau, dengan meletakkan sasaran untuk menerajui transformasi industri perbankan dan kewangan digital. 

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah GXBank, Datuk Zaiton Mohd Hassan, berkata GXBank lebih daripada aspirasi kebangsaan atau hab teknologi. 

Katanya, ia juga melambangkan pelbagai impian kewangan besar dan kecil setiap rakyat Malaysia. 

“Dengan sokongan tenaga kerja berbakat yang terdiri daripada lebih 95 peratus rakyat Malaysia, GXBank maju ke hadapan dalam menangani keperluan kewangan sebenar setiap rakyat Malaysia,” katanya.-BH Online