Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA KRAI: Pembinaan projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai kini dalam proses tender semula dan akan menyerahkan Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor dilantik sebelum hujung tahun ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, lantikan semula ini disebabkan kontraktor yang sebelum ini tidak mampu menyiapkan projek dan langkah yang terbaik adalah menamatkan perkhidmatan dan melantik kontraktor baharu.

Katanya, beliau berharap dengan baki kerja yang masih ada mungkin ia memerlukan setahun setengah untuk disiapkan daripada tempoh masa asal yang ditetapkan.

“Sekarang ini Projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) bagi Pakej 2B sejauh 6.2 kilometer dari Ketereh ke Kok Lanas sudah 85 peratus siap dan ia dijangka siap pada tahun 2026.

“Bagaimanapun, saya tidak menafikan ada kerugian disebabkan kos tambahan, namun ia sudah diambil kira dan yang penting projek lebuh raya ini mesti disiapkan,” katanya dalam sidang media selepas melakukan tinjauan projek penggantian Jambatan Sungai Durian di Jalan Persekutuan FT008, di sini hari ini.

Sebelum ini dilaporkan, Pakej 2B membabitkan pembinaan laluan dari Ketereh hingga Kok Lanas bawah Projek Lebuh Raya KBKK berdepan denda RM30,000 sehari kerana kelewatan ia disiapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan, Datuk Azami Mohd Nor berkata, kemajuan pembinaan Pakej 2B sepatutnya sudah 100 peratus berdasarkan jadual, namun hanya mencapai 80 peratus.

Dalam perkembangan lain, Alexander berkata, Jambatan Bailey yang dibina bagi memberikan kemudahan kepada penduduk dan pengguna jalan Jeli-Kuala Balah berhampiran Kampung Kubur Datuk yang runtuh akibat banjir pada Januari lalu kini dalam status pembinaan culvert.

“Kemajuan kerja kini sudah 60 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun hadapan,” katanya.-BH Online