Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggantung lesen dan menutup operasi beberapa pemilik premis yang menyalah gunakan lesen perniagaan mereka bagi menawarkan khidmat persundalan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya tidak berkompromi, malah tindakan tegas diambil kepada pemilik terbabit termasuk menggantung lesen dan menutup perniagaan mereka.

“Kita sudah mengenal pasti beberapa tempat yang kita telah ambil tindakan iaitu dari sudut (gantung) pelesenan.

“Kebanyakan kes diberi lesen untuk contohnya (membuka) restoran tetapi disalah gunakan (menawarkan aktiviti haram lain).

“Itu kita akan ambil tindakan dengan menggantung lesen dan ada juga beberapa dua atau tiga kedai (premis) kita sudah tutup,” katanya selepas merasmikan ESG Centre Kuala Lumpur dan Taman Bandar TRX di Tun Razak Exchange di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tindakan diambil bagi membersihkan ibu negara daripada lubuk pelacuran seperti pendedahan dalam laporan bersiri Harian Metro bermula Jun lalu.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, pihaknya sedang melaksanakan dua pendekatan dalam membanteras isu pelacuran di ibu negara daripada berleluasa.

“Pertamanya kita mengenal pasti tempat pelacuran dan sebagainya yang kita panggil ‘placement’ sebelum ia dinaik taraf menjadi pusat tarikan ekonomi setempat.

“Saya tertarik dengan apa yang dilakukan Surabaya yang terkenal sebagai pusat pelacuran tetapi akhirnya ia menjadi bandar bersih daripada aktiviti sebegini dan menjadi tempat tarikan.

“Mungkin kita boleh belajar apa yang dilakukan Surabaya untuk ‘placement’ tempat macam ini,” katanya.

Pendekatan kedua katanya, Jabatan Wilayah Persekutuan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menubuhkan KL Strike Force dalam masa terdekat bagi membanteras pelbagai isu dibangkitkan di ibu negara termasuk pelacuran.

“Ini (KL Strike Force) kita sedang usahakan secara formal untuk ditubuhkan di bawah Jawatankuasa Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan membabitkan beberapa agensi.

“Sekarang kita sudah lakukan beberapa pertemuan dan sedang melihat bagaimana kita hendak pastikan akhirnya KL Strike Force ini menjadi satu unit mampan dalam menangani isu berkaitan keselamatan termasuk isu pelacuran di Kuala Lumpur ini,” katanya.

Pada 22 Jun lalu, Harian Metro dalam laporan eksklusif Hanyir Lubuk Dosa mendedahkan, lubuk kegiatan pelacuran tertua di ibu negara termasuk di sekitar Pudu.

Susulan itu, polis menyerbu medan selera di Jalan Gelang dan Jalan Kalong serta menahan 27 individu termasuk pelayan pelanggan (GRO) dan pelacur yang aktif mencari pelanggan dengan menawarkan khidmat seks serendah RM100.

Pada 27 Jun lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa juga dilaporkan berkata, pihaknya mengenal pasti empat lokasi di sekitar ibu negara yang dijadikan sarang pelacuran dengan menawarkan khidmat seks pada harga murah kepada pelanggan.

Katanya, lokasi dikenal pasti itu termasuk Jalan Petaling, Jalan Gelang, Jalan Pudu dan Hotel Richmoore.

Malah, pendedahan Harian Metro secara bersiri itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengakui wujudnya elemen rasuah berkaitan isu lubuk pelacuran di ibu negara yang masih tidak selesai sejak sekian lama.

Pada masa sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya pula 

mengakui kewujudan premis pelacuran dan perjudian haram memberikan petunjuk wujudnya kegiatan melindungi pusat berkenaan oleh agensi penguat kuasa yang bertanggungjawab.

Isu itu katanya, tidak pernah selesai walaupun sudah banyak serbuan dan tangkapan dilakukan pihak berkuasa bertanggungjawab kerana segelintir anggota penguat kuasa dipercayai menerima sogokan sebagai balasan untuk melindungi premis berkenaan.-Harian Metro Online