Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Putrajaya: Aspek kebajikan anggota pasukan keselamatan dan pemerkasaan aset di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) kekal menjadi fokus utama dalam Belanjawan 2025.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata tumpuan itu sesuai dengan tugas hakiki kementerian dalam menjaga keamanan dan ketenteraman awam.

“Aspek kebajikan adalah aspek yang saya tekankan pada bajet tahun lalu dan saya akan teruskan lagi, aspek ini penting sebab itu akan meningkatkan moral dan motivasi anggota keselamatan di bawah KDN.

“Saya akan kekalkan momentum itu, memberi dan mengangkat keutamaan kepada MOF (Kementerian Kewangan) supaya momentum itu dapat dikekalkan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Sesi Libat Urus Belanjawan 2025 Bersama Pemegang Taruh KDN di sini, hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, tahun lalu pihaknya berjaya memulihkan hampir 151 pos Pasukan Gerakan Am (PGA) dan sejumlah kuarters dengan memanfaatkan peruntukan sekitar RM300 juta.

Malah, katanya, KDN juga berjaya menyelesaikan isu perumahan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) di Pantai Timur Sabah.

Selain itu, beliau berkata, KDN sedang berusaha meningkatkan keupayaan aset agensi di bawahnya termasuk untuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA).

“Sudah tentu kami kena merangka belanjawan yang sesuai dengan operasinya dalam fasa pertama yang sudah digerakkan pada Mei lalu sehingga sekarang.

“Kami akan memberikan tumpuan khusus untuk menguatkan MCBA supaya tahun pertama itu adalah tahun yang akan menyaksikan sekurang-kurangnya selesai dari segi perjawatan serta keupayaan aset,” katanya.-Harian Metro Online