Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Putrajaya: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan menyelaras semula sektor agrikomoditi di seluruh negara bagi memastikan semua negeri dapat mematuhi piawaian dan standard yang ditetapkan badan global termasuk membabitkan Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) dan alam sekitar.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, siri jelajah ke seluruh negara akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi menangani pelbagai isu berbangkit, selain perbezaan merangkumi status tanah di setiap negeri sehingga memberi kesan kepada penarafan Malaysia secara keseluruhan.

“Kita akan mengadakan siri jelajah di semua negeri di Malaysia bagi memastikan sektor agrikomoditi merangkumi pelbagai komponen seperti kelapa sawit, getah dan koko untuk mengguna pakai piawaian dan mematuhi keperluan yang ditetapkan bukannya menggunakan pendekatan yang berbeza.

“Ini kerana badan dunia melihat pematuhan menyeluruh. Jika ada negeri yang tidak patuh, contohnya, status tanah getah tetapi tanam kelapa sawit, ia akan menjejaskan penarafan Malaysia kerana ia menjadi antara satu prasyarat badan dunia,” katanya kepada media selepas mengadakan mesyuarat bersama EXCO Pertanian dari 13 negeri di seluruh Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri KPK, Datuk Chan Foong Hin.

Mengulas lanjut, Johari berkata, sektor agrikomoditi tidak lekang daripada isu dan cabaran di peringkat domestik mahupun antarabangsa sehinggakan ia memberi implikasi kepada hasil agrikomoditi negeri-negeri untuk dipasarkan ke pasaran antarabangsa sebagai produk keluaran Malaysia.

Katanya, sebarang ketidakpatuhan terhadap piawaian serta peraturan ini akan menggugat kebolehpasaran produk agrikomoditi negara di peringkat antarabangsa, dan ini secara tidak langsung boleh menjejaskan pendapatan kerajaan yang juga banyak bergantung kepada sektor pertanian dan perladangan.

“Perkara ini perlu dilihat dan ditangani secara bersama oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri khususnya membabitkan pematuhan piawaian kemampanan oleh EUDR, usaha pemeliharaan dan pemulihan alam sekitar seperti High Conservation Value (HCV) serta isu buruh paksa dan hak asasi manusia.

“Isu seperti penyahhutanan (deforestation), pemilikan sah ke atas tanah, kebolehjejakan dan amalan buruh yang baik bukan sahaja isu yang sering dititik beratkan dalam memastikan kebolehpasaran produk sektor agrikomoditi di peringkat antarabangsa, bahkan sejak kebelakangan ini sering dibincangkan dalam rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) baharu.

“Lantaran itu, Malaysia sentiasa komited dalam memastikan produk agrikomoditi serta rantaian bekalan komoditi yang dihasilkan menerusi sektor ini adalah mampan dan bertaraf antarabangsa,” katanya.

Beliau menjelaskan, sektor agrikomoditi menyumbang sebanyak RM83.16 bilion atau sekitar 5.31 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu.-Harian Metro Online