Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kes culik kanak-kanak terbaru dan kemasukan warga Bangladesh untuk berkhidmat sebagai buruh paksa di negara ini boleh memberi kesan kepada Laporan Pemerdagangan Manusia 2025 yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) tahun depan.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata perkara itu akan ditangani berdasarkan syor-syor yang sudah diterima Malaysia dalam laporan itu pada tahun ini.

“Terdapat lapan aspek positif, tujuh negatif dan 16 tumpuan yang perlu dilakukan kerajaan dan semua ini kita simpulkan kepada tiga keutamaan dalam isu pemerdagangan manusia di negara ini.

“Pertama adalah mempertingkatkan kerjasama untuk seluruh agensi yang ada. Kedua kita memperhebatkan langkah untuk mengenal pasti dan melindungi mangsa melalui gandingan kerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

“Ketiga adalah kita bertekad untuk menambah baik dan memperkukuhkan pendakwaan khususnya di bawah Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

“Oleh demikian semua perkara-perkara (penculikan kanak-kanak dan buruh paksa Bangladesh) kita sudah ambil kira dalam memperbaiki kedudukan kita dalam laporan itu,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Kes culik kanak-kanak terbaru membabitkan anak-kanak perempuan, Albertine Leo Jia Hui, enam tahun di pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri, Johor minggu lalu.

Sebelum itu, seorang lelaki juga ditahan polis selepas menculik dua kanak-kanak berusia lapan dan enam tahun di Jalan Ikan Emas 2, Taman Ikan Emas di Jeram, Selangor.

Eksploitasi buruh paksa membabitkan warga Bangladesh juga kerap berlaku di negara ini, antaranya bulan lalu seramai 26 warga asing diselamatkan daripada menjadi mangsa pemerdagangan orang.

Hujung tahun lalu, tular ratusan warga Bangladesh berjalan kaki di Pangerang kerana ditipu untuk mendapatkan pekerjaan.

Sementara itu, ditanya mengenai jumlah terbaharu rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar, Saifuddin meminta NGO yang mempunyai maklumat terbabit supaya mendedahkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

“Kita sedia ada mempunyai data tetapi sekiranya NGO yang ada maklumat terbaharu, ia boleh disilangkan dengan maklumat yang ada,” katanya.-BH Online