Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Taman Negara Niah, Sarawak diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), hari ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh yang menyertai Mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO ke-46 di New Delhi, India.

Menurut Abang Johari, pengiktirafan tersebut membuktikan Sarawak mendapat perhatian dunia, selepas Taman Negara Mulu diiktiraf sebagai tapak warisan dunia UNESCO pada 2000.

Justeru, kerajaan Sarawak mahu membawa pengunjung untuk melihat tapak-tapak warisan berkenaan.

Ia dijangka dapat dicapai selepas Sarawak mempunyai syarikat penerbangan sendiri menjelang akhir tahun ini.

“Yang kita perlukan sekarang ialah membawa orang melihat tapak-tapak ini dan oleh itu Kementerian Pengangkutan masih dalam peringkat akhir perbincangan mengenai syarikat penerbangan milik Sarawak dan Insya- Allah, menjelang hujung tahun ini kita mempunyai syarikat penerbangan sendiri,”ucap beliau semasa hadir Makan Malam Karnival Gawai REDEEMS di Bau, di sini.

Tambah Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari, syarikat penerbangan sendiri ini juga dapat membantu mempromosi kemasukan pengunjung atau ahli perniagaan ke Sarawak.-Berita RTM