Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim akan dipamerkan kepada orang awam selama sebulan terlebih dahulu untuk mendapatkan maklum balas mereka sebelum dibentangkan di Parlimen tahun depan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata perkara itu pernah dilakukan pada 2004 membabitkan Akta Industri Perkhidmatan Air.

“Saya pernah memberitahu kementerian sebaik (draf) RUU ini selesai, saya mahu lakukan apa yang kerajaan pernah buat beberapa tahun lalu pada 2004 dengan Akta Industri Perkhidmatan Air apabila ia dipamerkan kepada orang awam selama sebulan. Jadi, orang awam boleh memberikan ulasan untuk menambah baik RUU ini,” katanya kepada BH.

Ditanya mengenai perkembangan terkini RUU Perubahan Iklim, Nik Nazmi berkata, pihaknya telah memulakan libat urus dengan beberapa kerajaan negeri.

“Ada juga yang di peringkat pegawai, ada juga yang akan libatkan saya. Kita rancang dengan Sarawak, Sabah dan Pahang antara lain yang libatkan saya.

“Kemudian kita akan ke fasa kedua yang mana kita laporan akan diterima pada bulan September ini untuk kita lihat perkara yang boleh ditambah baik dalam kerangka sedia ada.

“Selepas itu, kita akan adakan libat urus kali kedua dengan pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO), kemudian barulah kita muktamadkan dengan Kamar Peguam Negara dan di akhirnya, kita akan buka kepada orang awam untuk mereka ulas serta ke jawatankuasa pemilih di Parlimen,” katanya.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, RUU Perubahan Iklim adalah mengenai cara Malaysia mahu mencapai sasaran bersih sifar menjelang 2050.

“Ada beberapa perkara yang perlu kita buat, kalau tengok contohnya di United Kingdom (UK), mereka tubuhkan jawatankuasa perubahan iklim, iaitu satu badan untuk kawal selia dan akan sediakan laporan mengenai bagaimana pematuhan kerajaan terhadap sasaran sifar bersih dan sebagainya.

“Ia juga akan menjadi garis panduan kepada kerajaan misalnya bila mahu membuat loji jana kuasa baharu, dasar automotif baharu dan dasar perindustrian baharu kerana semua ini mempunyai kadar pelepasan yang tinggi,” katanya.-BH Online