Putrajaya: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berharap atlet Malaysia yang masih bertanding di Paris terutama atlet di bawah program Road To Gold (RTG) untuk terus fokus dalam misi membawa pulang pingat emas Olimpik pertama negara.
Beliau meminta mereka supaya menggunakan masa yang ada sepenuhnya bagi melakukan persiapan terbaik sebelum turun bertanding dalam acara masing-masing.
Menurutnya sekretariat Malaysia di sana sedia membantu mana-mana atlet yang memerlukan bantuan.
“Saya berharap atlet yang masih bertanding untuk memanfaatkan masa yang ada di Paris dengan sepenuhnya kerana setiap hari itu bernilai.
“Saya juga berharap atlet-atlet di bawah program RTG untuk terus yakin kerana mereka sudah diberikan (perkhidmatan) yang terbaik,” katanya kepada media selepas menghadiri Larian Amal AEON di Anjung Floria di sini hari ini.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada perenang negara Khiew Hoe Yean dan penembak Johnathan Wong, atas usaha keras mereka di temasya berprestij itu.
Semalam, Hoe Yean menamatkan kempen Olimpiknya pada pusingan saringan kedua 400 meter (m) gaya bebas lelaki manakala Johnathan gagal melayakkan diri ke pusingan akhir 10 meter (m) air pistol lelaki selepas menduduki tempat ke-26 daripada 33 peserta.
Hannah akan berangkat ke Paris pada 31 Julai ini untuk memberikan semangat kepada kontinjen negara.
Sementara itu, pada majlis hari ini, Hannah bersama Presiden Yayasan AEON Malaysia Datuk Iskandar Sarudin menyampaikan sumbangan RM1 juta kepada program AEON KASiH.
Program itu bermatlamat membantu golongan B40 yang memerlukan bantuan dari segi kos perubatan atau rawatan.-Harian Metro Online