Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Isu mengenai pendidikan dan cabaran membina negara khususnya mempertahankan nilai, moral dan agama serta kendala sebagai pimpinan negara telah dibincangkan antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan Dewan Da’wah Islamiyah Indonesia.

Perkara itu disentuh pada pertemuan antara Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Ketua Umum Dewan Da’wah Islamiyah Indonesia, Dr Adian Husaini yang diadakan malam tadi.

“Hubungan awal terbina semasa bapa saya menjadi aktivis dakwah ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) dan hubungan keluarga dakwah ini diteruskan hingga kini.null

“Semoga hubungan antara kedua-dua negara terus erat dan memberikan manfaat yang besar kepada ummah,” kata Fadhlina dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya, hari ini.

Fadhlina yang merupakan anak kepada bekas Presiden ABIM, Allahyarham Dr Siddiq Fadzil, berkata pertemuan itu juga adalah manifestasi hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia dalam konteks ilmu, kepimpinan dan dakwah.

Beliau berkata, manifestasi hubungan baik itu juga dalam konteks peranan tokoh agama dan ahli politik Indonesia Mohammad Natsir yang telah mengungkapkan ‘politik di jalur dakwah’ sebagai asas memimpin Indonesia suatu masa dahulu.

Sebelum pertemuan berakhir, Fadhlina berkata Adian telah menghadiahkan dua buku yang ditulisnya iaitu Indonesia Maju 2045 dan Bersama Dewan Da’wah Indonesia Mewujudkan Indonesia Adil-Makmur 2045.

“Terima kasih buat Adian dan rombongan, moga bertemu di lain masa, selamat berangkat pulang ke Indonesia,” kata Fadhlina.

Dewan Da’wah Islamiyah Indonesia yang diasaskan oleh Mohammad Natsir pada 26 Februari 1967 merupakan sebuah organisasi dakwah terkemuka di Indonesia.

Mohammad Natsir merupakan Perdana Menteri kelima Indonesia bermula 5 September 1950 hingga 26 April 1951 sebelum jawatan itu dimansuhkan di republik itu. – BERNAMA