Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Serangan siber ke atas sistem pertahanan negara dikesan meningkat serta berlaku secara berterusan, di samping turut mengancam pelbagai sektor lain.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata ia termasuk percubaan mengganggu ketenteraman dan mengintip tindakan atau strategi semasa sistem pertahanan negara yang perlu ditangani dengan pantas serta proaktif.

“Ya, serangan siber berlaku secara berterusan. Ia mungkin terus meningkat dan tentunya fenomena yang dihadapi di mana-mana, baik aspek pertahanan mahu pun sektor lain. 

“Kita perlu ada kekuatan dan kemampuan untuk menanganinya,” katanya kepada media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UiTM Energy & Facilities Sdn Bhd dan Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi UiTM Holding Sdn Bhd, Datuk Omar Shariff Mydeen; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Boustead Holdings Berhad, Izaddeen Daud; CEO BHPetrol, Azizul Azily Ahmad dan Pemangku CEO Kumpulan UiTM Holdings Sdn Bhd, Dr Heazar Ismail.

Sebelum ini, Mohamed Khaled berkata, sistem pertahanan negara menerima kira-kira 3,000 serangan siber setiap hari selepas Malaysia menyatakan sokongan terhadap Palestin. 

Serangan membabitkan pelbagai pihak yang bukan hanya bertujuan untuk mengintip pergerakan Malaysia, tetapi juga menggodam sistem pertahanan negara. 

Mengenai langkah semasa diambil bagi menangani ancaman berkenaan, Mohamed Khaled berkata, kementerian mempunyai pakar berkemahiran dalam teknologi terkini, selain kerap mengenal pasti dan menguasai teknologi baharu.

“Kita kena tahu teknologi baharu dan bagaimana serangan berlaku kerana ia bukan dalam bentuk tradisional semata-mata.

“Perlu juga dititikberatkan tidak wajar ada jurang teknologi dalam sistem pertahanan kita,” katanya. 

Sementara itu, Mohamed Khaled mengesahkan sudah menerima pemakluman daripada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang akan memanggilnya bagi prosiding Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), dijadualkan pada Ogos depan. 

“Ada, ya saya akan hadir. Apa sebab pula saya tak hadir?

“Prosiding iakan bincangkan perkara yang dibangkitkan oleh Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) untuk 2022.

“Setahu saya, ia berkisar mengenai hal yang berkait dengan LTAT,” katanya. 

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebelum ini memaklumkan akan memanggil Mohamed Khaled dan tiga bekas ahli pengurusan tertinggi LTAT sebagai saksi prosiding LTAT yang seterusnya pada Ogos depan. 

Prosiding itu bagi mendapatkan penjelasan susulan pendedahan rizab kewangan agensi itu yang negatif seperti dilaporkan dalam LKAN Mac lalu.-BH Online