Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat Malaysia mendoakan kejayaan kontinjen negara yang akan bersaing pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Anwar menerusi video yang dimuat naik di Facebook berharap atlet negara dapat menempa sejarah dan melakar prestasi yang baik pada temasya yang akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.
“Kontinjen Malaysia ke Olimpik sudah pun berangkat dan sekarang membuat persediaan untuk bertarung. Kita rakyat Malaysia harus mendoakan sebaiknya buat kontinjen Malaysia dapat menempa sejarah, melakar satu prestasi yang baik dan menggondol hadiah yang mungkin kita perolehi.
“Jadi sama-sama kita mengikuti, menyaksi dan mendoakan, mudah-mudahan kontinjen Malaysia berjaya. Kita sama-sama ucapkan selamat maju jaya dan sukses kepada team MAS,” katanya.
Seramai 26 atlet Malaysia yang akan bersaing di Paris dengan misi utama untuk menjelmakan emas pertama negara dalam Sukan Olimpik.
“Ayuh seluruh rakyat Malaysia kita nyatakan sokongan padu buat kontinjen negara yang sedang menggalas misi merealisasikan impian emas pertama di temasya sukan Olimpik.
“Selamat maju jaya buat 26 atlet negara. Doa seluruh rakyat Malaysia mengiringi langkah kalian di Paris, Insya-Allah,” kata Perdana Menteri pada kapsyen video berkenaan.-BH Online