Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Anggaran ekonomi berkembang pada kadar 5.8 peratus pada suku kedua menandakan kadar pertumbuhan tertinggi yang bakal dicatatkan Malaysia sejak suku keempat 2022.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata jangkaan prestasi ekonomi itu menandakan keperluan untuk kerajaan negeri dan persekutuan berganding bahu memastikan setiap dasar kerajaan dilaksanakan secara kolektif.

“Untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi ini, adalah penting bahawa kita memberi tumpuan kepada usaha kolektif antara kerajaan persekutuan dan negeri.

“Dengan menyelaraskan strategi dan melengkapkan sumber masing-masing, kita boleh mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif dan dinamik.

“Kerjasama ini akan membolehkan kita untuk lebih menyokong industri dan menarik lebih banyak pelaburan ke Malaysia,” katanya ketika berucap pada MIDA Invest Series – Selangor bersempena Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor (SABC) di sini, hari ini.

Acara anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) itu dirasmikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, Malaysia telah mencapai kemajuan yang ketara dengan pelaburan yang diluluskan berjumlah RM329.5 bilion tahun lalu, tertinggi dalam sejarah negara, selain mewujudkan hampir 130,000 pekerjaan.

“Bagi suku pertama 2024, pelaburan yang diluluskan mencapai RM83.7 bilion, meningkat 13 peratus tahun ke tahun. Daripada jumlah ini, lebih daripada 56 peratus adalah daripada pelaburan asing yang diluluskan.

“Pelaburan ini akan mewujudkan 29,000 pekerjaan baharu, menandakan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 14.6 peratus untuk rakyat Malaysia.

“Malah, Selangor telah memainkan peranan dengan baik sebagai antara penyumbang tertinggi kepada pelaburan negara, menarik RM12.4 bilion pada suku pertama tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata, Selangor kekal sebagai antara destinasi pelaburan utama di negara ini dengan sejumlah 363 projek dan mencipta 8,377 peluang pekerjaan, bernilai RM12.4 bilion pada suku pertama 2024, peningkatan ketara sebanyak 66.8 peratus daripada RM7.44 bilion, dalam suku yang sama tahun lalu.

“Ini jelas menunjukkan dua perkara. Pertama, negeri ini secara konsisten dapat menarik lebih banyak projek pelaburan, baik dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

“Kedua, semua projek akan mewujudkan peluang pekerjaan tertinggi kepada rakyat, sekali gus menyediakan peluang yang mencukupi kepada usahawan tempatan dan tenaga kerja kita di Selangor.

“Adalah sentiasa menjadi matlamat kami untuk mencari sinergi dalam menarik pelaburan ke negeri ini dan berkongsi kemakmuran dengan masyarakat setempat,” katanya.

Beliau menegaskan, Selangor akan terus menyediakan bantuan percuma kepada pelabur, untuk memastikan kemasukan pelaburan ke negeri itu semudah mungkin.

“Salah satu daripadanya ialah sokongan adalah Program Penempatan. Menerusi program ini, kami menawarkan penggunaan ruang kerja secara percuma di lokasi terpilih untuk pelabur gunakan semasa mengenal pasti dan memuktamadkan lokasi pembuatan mereka.

“Invest Selangor juga mengatur mesyuarat peringkat negeri yang dijadualkan untuk membantu menyelaras proses kelulusan bagi pembangunan projek pelaburan.

“Mesyuarat ini membantu menyelesaikan sebarang isu yang berkaitan, dengan penglibatan dan komitmen semua agensi persekutuan dan negeri,” katanya.-BH Online