Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Langkah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menutup atau menggabungkan 23 anak syarikat agensi di bawahnya yang gagal menjana keuntungan membawa perubahan drastik kepada prestasi entiti berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia terbukti apabila laporan prestasi awal menyatakan 100 anak syarikat agensi yang kini masih di bawah KKDW menunjukkan keuntungan.

“Setakat laporan awal, jelas memperlihatkan perubahan yang sangat drastik dari segi syarikat rugi yang telah ditutup atau digabungkan dengan syarikat yang untung. 

“Dengan ini, kita berjaya menjadikan sebahagian daripada anak syarikat yang menjadi bebanan liabiliti, kepada syarikat yang untung. Ertinya kita berjaya melepasi syarikat yang menjadi ‘cost centre’(berorientasikan kos) kepada ‘profit centre’(berorientasikan profit).

“Anak syarikat KKDW yang ditutup dan dicantumkan dengan syarikat yang untung bertujuan supaya tiada pegawai dan kakitangan dibuang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan perutusan pada Pemukiman Program Utama KKDW di Pusat Konvensyen Desaru, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, anak syarikat KKDW yang telah mencatat keuntungan sepanjang tempoh enam bulan tahun ini antaranya adalah Perda Venture dan KEDA Group of Companies.

“Perda Veture merekodkan keuntungan RM2.7 juta, manakala KEDA Group of Companies pula untung RM243,706,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid menggariskan tiga pendekatan bagi memacu pembangunan sesebuah kampung di negara ini untuk terus berdaya saing. 

Pertama, katanya menerusi Pembudayaan Warisan yang boleh dilaksanakan dengan menjalankan aktiviti keusahawanan tanpa meninggalkan warisan sesebuah komuniti. 

“Kedua adalah Pembudayaan ilmu bagi memastikan masyarakat kampung mendapat pendidikan secara menyeluruh. 

“Suntikan bantuan seperti kelas tuisyen rakyat seperti dilakukan RISDA dan KEDA, serta kelas-kelas kemahiran kepada masyarakat yang dilakukan oleh KEMAS dan GiatMARA juga adalah pendekatan terbaik, serta mampu meningkatkan ilmu sedia ada dan akhirnya menyumbang kepada peningkatan potensi pendidikan anak-anak dan ekonomi keluarga.

“Ketiga pula adalah Pembudayaan Ekonomi yang merujuk kepada usaha mengoptimumkan penggunaan segala sumber aset semula jadi yang sedia ada. 

“Contohnya, masyarakat desa perlu diurus pemikirannya untuk mengusahakan tanah terbiar bagi menjana hasil,” katanya.-BH Online