Jabatan Alam Sekitar melakukan lawatan mengejut ke kilang memproses bahan akrilik di kawasan perindustrian Jalan Kampung Orang Asli, Kuang, Rawang, Selangor susulan insiden pencemaran bau dan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, Sungai Selangor.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata hasil pemeriksaan jabatan itu mendapati punca pencemaran bau adalah akibat kebocoran bahan kimia dikenali sebagai Poly Metha Acrylic Acid (PMAA) daripada tangki penstoran yang juga produk dihasilkan oleh premis terbabit berbentuk cecair.
“Kebocoran bahan kimia itu menyebabkan pelepasan bau kerana ciri-ciri bahan kimia PMAA yang berbau kuat.
“Susulan itu, arahan serta-merta dikeluarkan oleh JAS kepada pengusaha premis untuk menjalankan kerja pembersihan dalam premis, kawasan longkang dan anak sungai yang terkesan. Kerja-kerja itu sudah selesai dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nik Nazmi berkata, sebanyak tiga sampel bahan bukti diambil dan sudah dikemukakan ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk ujian penentuan komposisi dan pemadanan.
“Kawasan operasi premis beserta peralatan kelengkapan proses disita pihak JAS melalui pengeluaran notis Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 sehingga siasatan selesai.
“JAS juga sudah membuka kertas siasatan bagi tindakan perundangan dan mengesahkan penahanan dua individu setakat ini bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 25 Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 (Pindaan 2024),” katanya.
Beliau berkata, kerajaan memandang serius jenayah alam sekitar dan ia sudah diterjemahkan melalui Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024 yang memperuntukkan hukuman penjara mandatori sehingga lima tahun dan denda maksimum sehingga RM10 juta jika disabitkan dengan kesalahan mencemar sungai.
“Pihak industri perlu memainkan peranan penting dalam memastikan operasi kilang atau premis masing-masing memenuhi semua keperluan perundangan alam sekitar dan tidak akan menyebabkan pencemaran alam sekitar.
“Konsep pematuhan kendiri perlu dibudayakan dan setiap tindakan atau keputusan yang diambil perlu mengambil kira elemen alam sekitar,” katanya.
Katanya, setiap anggota masyarakat perlu bertindak dengan menjadi mata dan telinga kepada kerajaan dalam membantu menyalurkan maklumat serta aduan kepada pihak berkuasa termasuk JAS mengenai aktiviti yang merosakkan alam sekitar untuk tindakan penguatkuasaan lanjut.
Sebarang aduan berkaitan yang mencemarkan alam sekitar boleh dibuat di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau e-mel ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.-BH Online