Beberapa aspek penambahbaikan perundangan dalam menangani isu buli siber akan diumumkan, dalam masa terdekat.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, jawatankuasa dianggotai kementeriannya bersama kementerian di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Komunikasi sudah mengadakan perbincangan lanjut berhubung perkara itu.
“Saya hendak berikan jaminan kerajaan memandang serius perkara ini dan langkah diambil supaya kita perkukuhkan undang-undang sedia ada supaya kita ada undang-undang boleh digunakan untuk kes sebegini rupa.
“Jadi kita sudah mewujudkan jawatankuasa membabitkan kementerian ini dan sesi perbincangan sudah pun berlangsung dengan baik, malah kita sudah mengenal pasti isu yang akan dilaksanakan dan secara berperingkat kita akan umumkan dalam tempoh terdekat ini,” katanya pada sidang media khas di kementeriannya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengenai isu buli siber sehingga meragut nyawa pempengaruh media sosial, A Rajeswary, 30, atau lebih dikenali sebagai Esha, 5 Julai lalu.
Mengulas lanjut, Gobind turut memberi jaminan, kerajaan akan memandang serius perkara itu dengan langkah seperti pengukuhan undang-undang sedia ada.
“Hukuman sedia ada kita akan kaji dan pertingkatkan, ini menunjukkan kita serius walaupun semua tahu dunia digital yang menukar cara hidup dan perniagaan.
“Walaupun kita galakkan gunakan platform digital tetapi kita ambil serius aspek keselamatan dan isyarat kita jelas tidak akan bertoleransi dengan pembuli,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Esha ditemukan meninggal dunia di kediaman di sebuah kondominium di Setapak 5 Julai lalu, dipercayai mengalami tekanan akibat dibuli di media sosial.
Pada 4 Julai lalu, mendiang didakwa membuat satu laporan polis mengenai kejadian buli siber yang dihadapinya di Balai Polis Dang Wangi sebelum laporan itu dipindahkan ke Polis Daerah Sentul untuk siasatan.
Kemudian, polis meminta mendiang menghadirkan diri ke balai polis untuk dirakam keterangan, namun dia ditemukan meninggal dunia keesokannya.
Susulan itu, pasukan khas menggabungkan empat kementerian ditubuhkan bagi membincangkan cadangan meminda Kanun Keseksaan (Akta 574), khusus untuk membanteras buli siber.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata, pasukan khas berkenaan akan memperhalusi perkara yang dibangkitkan berhubung buli siber, disusuli cadangan penganjuran satu seminar antarabangsa berkait undang-undang keselamatan dalam talian.-Harian Metro Online