Bekas pelajar dan persatuan alumni sekolah agama di negeri ini perlu mencontohi sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) yang mampu menyumbang dan mengutip dana untuk keperluan sekolah tanpa perlu terlalu bergantung dengan kerajaan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, inisiatif tersebut terutama dilakukan persatuan alumni dan pihak pengurusan SJKC dilihat amat berkesan dalam membantu mencukupkan dan memenuhi kebajikan sekolah terbabit.
Langkah tersebut, katanya, sudah dilakukan contohnya di dua sekolah bukan SJKC iaitu Maktab Sultan Abu Bakar (EC) dan Sekolah Tun Fatimah di sini.
“Dalam tempoh tiga hingga empat bulan pelaksanaan pelbagai program melibatkan alumni sekolah, mereka berjaya mengumpul dana sehingga RM1 juta.
“Saya telah melawat beberapa sekolah di Johor termasuk sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) dan SJKC, tidak dinafikan antara sekolah-sekolah yang mempunyai penyelenggaraan (bangunan) yang baik adalah SJKC.
“Mereka (SJKC) juga mendapat peruntukan dan bantuan kerajaan tetapi bantuan dari alumni mereka menjadikan peruntukan dana sekolah menjadi lebih banyak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Sambutan Hari Guru Agama Sekolah Kerajaan Negeri Johor di Savana Hill Resort di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid.
Onn Hafiz berkata, di Johor ramai hendak menyumbang dan mereka perlu diberi ruang berbuat demikian dalam meninggikan syiar Islam.
“Buat program alumni dan libatkan masyarakat, tentu ramai akan bantu dan melalui dana itu ,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Fared menyambut baik cadangan tersebut dan akan melaksanakannya dengan kadar segera selepas mengadakan perbincangan berhubung perkara itu
“Cadangan sangat baik di samping bergantung kepada peruntukan kerajaan negeri dan pusat. Menteri Besar mahu sekolah agama menerusi badan kebajikan sekolah dan alumni yang terima pendidikan sebelum ini sudah bekerja dan berjaya kembali menyumbang.
“Saya mengakui belum dimulakan di sekolah agama, saya terima baik cadangan itu dan akan segera berbincang tentang pelaksanaannya, kita mulakan secepatnya, BKS ini sudah ada tapi kutipan belum dilaksanakan secara tersusun dan boleh dilaksanakan,” ujarnya. – MalaysiaGazette