Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada pertemuan rasmi antara parti itu dengan PAS kononnya bagi membentuk kerjasama PRU16 seperti didakwa sesetengah pihak. 

Ahmad Zahid berkata secara peribadi juga tiada yang hadir bertemu dengannya seperti yang didakwa.

“Mereka tidak berjumpa dengan saya. Jika ada pun, mungkin itu pendekatan yang dibuat secara peribadi dan bukan secara rasmi,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian sebuah pusat fisioterapi di sini hari ini.

Beliau berkata sedemikian ketika ditanya berhubung dakwaan wujud perbincangan antara pemimpin PAS dan UMNO bagi membincangkan kerjasama mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Perkara itu didakwa oleh Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, yang berkata beberapa siri pertemuan bersama pemimpin UMNO kerap berlaku ketika ini.

Pada 8 Julai lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata parti itu tidak akan bekerjasama dengan PAS selagi Tan Sri Abdul Hadi Awang menjadi presiden parti itu.

Ahmad Zahid berkata, pengalaman bekerjasama dengan PAS sebelum ini menyebabkan keputusan itu diambil.

Menurutnya, banyak keputusan bersama dibuat sebelum ini di antara kedua-dua parti dikhianati PAS.-BH Online