Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Isu kelewatan penerbangan berpunca daripada gangguan sistem teknologi maklumat (IT) global minggu lalu, menunjukkan ada perkara berkaitan prosedur dan sistem komunikasi di lapangan terbang yang boleh ditambah baik.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata gangguan luar jangka itu turut memberi kesan kepada beberapa sektor lain.

“Lapangan terbang perlu daftar masuk melalui manual dan itu mengambil masa. Apabila satu penerbangan terlewat, ia memberi kesan kepada banyak penerbangan.

“Saya tahu ramai yang terkesan dengan kejadian itu apabila mereka yang mengambil penerbangan tidak dapat bergerak ke destinasi pada masa ditetapkan kerana gangguan.

“Perkara ini boleh ditambah baik dari segi prosedur dan sistem komunikasi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Permotoran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mantin di sini, hari ini.

Loke berkata, pihaknya tidak boleh menuding jari terhadap mana-mana pihak manakala pengguna yang mempunyai masalah berkaitan perkhidmatan penerbangan diminta membuat aduan kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

Beliau berkata, sistem dan jadual penerbangan sukar dikawal kerana dipengaruhi pelbagai faktor termasuk cuaca.

“Saya memahami pelanggan tidak puas hati kalau lewat tetapi pada masa yang sama kena lihat keseimbangannya.

“Syarikat penerbangan perlu mengambil kira aspek keselamatan dan jika mereka tidak patuhi keadaan akan menjadi lebih teruk.

“Aspek keselamatan penumpang adalah keutamaan, kita tidak boleh kompromi kerana jika berlaku sebarang insiden, siapa yang akan bertanggungjawab? Saya harap semua pihak faham,” katanya.-BH Online