Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua pihak, termasuk sektor awam dan swasta, mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing sepanjang tempoh sambutan Bulan Kebangsaan.

Perdana Menteri berkata, langkah itu sebagai tanda taat setia, pengorbanan dan mendukung semangat kemerdekaan yang diperoleh tanah air sejak 67 tahun lalu.

“Mulai hari ini, komuniti MADANI, setiap jabatan, setiap rakyat, setiap kedai dan warung, kaya miskin, kota dan desa, kita hendak memastikan tunjukkan bahawa kamu bersama ‘Jiwa Merdeka’, hebatkan Malaysia.

“Saya percaya kita bagi mesej yang jelas… apa yang sukarnya… orang dulu korban segalanya, ibu di kampung keluarkan rantai dan perhiasan mereka jadi tabung untuk perjuangan (memerdekakan negara),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Anwar menekankan, sambutan Hari Kebangsaan kali ini yang bertema ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ harus dijadikan sebagai tahun mempamerkan kemegahan rakyat dan negara.

Malah, beliau berkata, sambutan tahun ini juga akan menjadi petanda baharu untuk berkongsi matlamat sama, iaitu mengangkat Malaysia sebagai negara gemilang.

“(Orang) dahulu bagi cincin untuk perjuangan, sekarang kita tidak sanggup… kena ingat supaya jangan ada keterlanjuran… kita tidak minta cincin, tidak minta jam, yang saya minta ialah kibarkan Jalur Gemilang.

“Kalau (ada) orang yang enggan, kirim salam kepada mereka. Ini bukan isu kaum, bukan isu parti, bukan isu kedudukan atau pekerjaan. Ini soal jati diri, maruah, harga diri… ini satu negara bila merdeka, kibaran bendera itu (harus) meluas di seluruh negara,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan, pada peringkat sektor awam termasuk jabatan dan agensi, Ketua Setiausaha Negara akan memantau untuk memastikan setiap premis kerajaan mengibarkan Jalur Gemilang.

“Mengenai sektor swasta, (tidak dinafikan) sumbangan mereka besar, tidak boleh diperkecilkan tetapi kadang-kadang mereka menganggap hal ini agak remeh.

“Saya nak beritahu mereka, kalau negeri ini tak aman, niaga dia tak untung… kalau tak ada pengorbanan polis dan tentera di perbatasan, tak ada pelaburan baharu… jadi tunjukkan sokongan dan dukungan kamu,” katanya.

Justeru, Anwar berkata, mesej supaya Jalur Gemilang dikibarkan sepanjang Bulan Kebangsaan, akan disiar berulang kali melalui televisyen dan media sosial.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengingatkan anak-anak muda supaya mengerti makna sebenar kemerdekaan yang dicapai negara sejak sekian lama.

Beliau berkata, ia kerana kemerdekaan yang dicapai dahulu dibayar dengan darah, air mata, keringat dan pengorbanan.

“Setiap generasi tidak dituntut sebegitu. Sekarang tidak dituntut pengorbanan dengan darah… kita tugaskan kepada pasukan keselamatan, jauh di perbatasan, di lautan, di belantara, di hutan tetapi tidak menyinggung kedudukan kita di kota, desa dan pedalaman.

“Sebab itu, Malaysia MADANI ini adalah untuk mengisi kemerdekaan. Apa erti kemerdekaan kalau jenis pimpinan yang kita pilih itu sama dengan penjajah, guna kuasa merompak kekayaan negara, diambil untuk mereka atau untuk negara mereka,” katanya.

Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 diadakan bertujuan menyuburkan semangat patriotisme serta cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024.

Ia juga bertujuan menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dalam kalangan semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum, bangsa, agama mahupun fahaman politik, berasaskan aspirasi Malaysia MADANI menerusi inisiatif ‘Satu Rumah, Satu Jalur Gemilang’.

Sambutan Hari Kebangsaan 2024 pada 31 Ogos depan dijadualkan berlangsung di Putrajaya, manakala sambutan Hari Malaysia pada 16 September pula di Kota Kinabalu, Sabah.-BH Online