Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menyalurkan peruntukan RM129 juta bagi melaksanakan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata fokus utama projek itu merangkumi perlindungan banjir dan banjir pantai, hakisan pantai dan pemuliharaan muara.

Beliau yang juga Menteri PETRA, berkata projek itu dilaksanakan dalam tiga pakej dengan dua daripadanya termasuk sebahagian di Muara Tuang, Samarahan sedang dilaksanakan.

“Hari ini kita melaksanakan pecah tanah bagi pakej ketiga projek dengan kos hampir RM42 juta iaitu bagi pelaksanaan projek mendalamkan sungai di kawasan Taman Malihah, Matang yang kerap dilanda banjir.

“Satu lagi projek ialah di kawasan Hospital Umum Sarawak (HUS) di Sungai Gersik dan Sungai Sinjan serta Taman Universiti di Kota Samarahan yang dikategorikan kawasan kritikal kerana kerap dilanda banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pecah Tanah Projek PLSB) Sungai Sarawak di Dewan Sekolah Kebangsaan Tan Sri Datuk Haji Mohamed, Matang, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Selain itu, Fadillah berkata, projek PLSB juga bagi mengatasi masalah banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan lain di Kuching dan Samarahan.

Menurutnya lagi, secara keseluruhannya Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan hampir RM300 juta kepada Sarawak dalam Rolling Plan Keempat bagi melaksanakan projek untuk menangani masalah banjir dengan ketiga-tiga pakej projek itu dijangkakan siap pada 2026.

Sehubungan itu katanya, kontraktor yang dilantik diwajibkan menandatangani surat ikrar untuk memastikan projek itu disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan serta mengikut spesifikasi dan standard ditetapkan selain mengikut draf bajet yang ditetapkan.

“Sebagai Menteri PETRA, saya mahu mereka memberi jaminan untuk menyiapkan projek. Kalau tak siap, siap kamu.

“Rakyat mengharapkan kontraktor melaksanakan projek dengan baik, jadi jaga-jaga,” katanya.

Beliau turut menyarankan agar kontraktor berbincang dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk mengenal pasti kaedah untuk memastikan projek berjalan lancar.-BH Online