Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Butterworth: Satu pasukan khas membabitkan empat kementerian diwujudkan dalam membincangkan cadangan meminda Kanun Keseksaan (Akta 574) bagi membanteras buli siber. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata pasukan khas itu membabitkan kementeriannya bersama Kementerian Komunikasi, Kementerian Digital dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Katanya, empat kementerian itu akan memperhalusi perkara yang dibangkitkan berhubung buli siber sebelum pindaan undang-undang itu dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat, Oktober ini.

“Selepas itu, kita akan wujudkan satu seminar antarabangsa undang-undang keselamatan dalam talian untuk kita belajar daripada negara seperti Australia, Kanada, United Kingdom dan Singapura (berkaitan negara itu menangani jenayah buli siber.

“Ini kerana ada pertikaian antara elemen demokrasi (terutamanya) berkaitan hak asasi dan kita nak tahu apa limit (had) kepada hak asasi (dalam isu berkaitan buli siber) kerana ada orang berkata dalam buli siber mereka tak sentuh (secara fizikal) hanya bercakap saja.

“Jadi, sekarang aspek jenayah itu ialah ia bukan satu ‘one-off’. Dia buat ‘scooping’, ‘doxing’, ‘intimidation’ dan yang paling dahsyat ‘inflammating’ iaitu menggalakkan orang wujudkan kebencian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam di sebuah hotel di Perai di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, pindaan itu juga perlu dibuat untuk memastikan peruntukan jenayah buli siber dapat dikuatkuasakan secara efektif di negara ini.

“Setakat ini, buli siber tidak ada takrifan khas dalam undang-undang. Jadi kita perlu tentukan dahulu definisi mengenai buli siber sebelum pindaan dibuat dan dibentangkan Oktober ini,” katanya.

Terdahulu media melaporkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) sedang mempertimbangkan cadangan meminda Kanun Keseksaan (Akta 574) bagi membanteras gejala buli siber. 

Menterinya dilaporkan berkata, cadangan pindaan itu bagi mewujudkan peruntukan spesifik dan khas bagi kesalahan terbabit.

Selain memberi tafsiran kepada terma ‘buli siber’, cadangan itu akan mengklasifikasikan perbuatan terbabit sebagai suatu kesalahan di negara ini secara spesifik.-Harian Metro Online