Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Masyarakat dinasihatkan supaya mengelak membaca qunut nazilah ke atas mana-mana orang Islam kerana ia dikhuatiri akan menjerumuskan seseorang kepada perbuatan ekstrim dan melampau dalam agama.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (WP) berkata ini kerana bacaan berkenaan ke atas orang Islam, sama ada musuh atau lawan sesama muslim tidak dibolehkan dalam apa-apa juga keadaan.

Selain itu, katanya, perbuatan sama tidak dibolehkan sekiranya qunut nazilah dibacakan ke atas orang Islam semata-mata kerana perselisihan faham atau pandangan yang biasa berlaku dalam politik dan seumpamanya.

“Berdasarkan amalan Rasulullah SAW dan sahabat serta pandangan ulama, dapat dilihat dengan jelas, qunut nazilah hanya dibacakan kepada musuh daripada golongan kafir dan murtad sahaja, bukannya ke atas sesama umat Islam.

“Pertembungan sesama umat Islam, tanpa mengira sebabnya, tidak boleh untuk dibacakan qunut nazilah kepada sesama muslim. Apatah lagi jika perselisihan dan pertelingkahan yang biasa terjadi terutama dalam lapangan politik dan seumpamanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan tindakan Ahli Parlimen pembangkang membaca qunut nazilah selepas Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung enam bulan daripada persidangan Dewan Rakyat, bertentangan prinsip Islam sebenar.

Beliau yang juga Setiausaha Agung PKR dilaporkan berkata, perbuatan memohon kehancuran terhadap lawan politik adalah melampaui batas dan tidak menggambarkan akhlak politik Islam.

Khamis lalu, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ketua ARMADA BERSATU digantung daripada persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan kerana membangkitkan surat layang ketika perbahasan, dengan diiringi bacaan qunut nazilah oleh sebahagian Ahli Parlimen pembangkang lain.

Bacaan berkenaan yang lazimnya dibacakan umat Islam bagi mendoakan musuh agama atau dalam situasi perang itu dipimpin Ahli Parlimen Jasin yang juga antara pemimpin PAS Melaka, Zulkifli Ismail.

Mengulas lanjut, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, nas dan pernyataan ulama menjelaskan qunut nazilah dibacakan ke atas golongan kafir dan murtad yang diperangi umat Islam atau ketika ketika ditimpa musibah besar.

Katanya, qunut itu juga turut dibaca dalam konteks peperangan jihad yang dituntut dan dibenarkan syarak seperti situasi dihadapi Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina Umar Al-Khattab, selain tiada riwayat hadis atau pandangan ulama yang mengharuskan bacaan ke atas golongan Islam sendiri.

“Qunut nazilah adalah doa dibaca apabila umat Islam ditimpa musibah besar. Ini seperti dilakukan Rasulullah SAW yang membacakan qunut nazilah apabila berlaku pengkhianatan dan pembunuhan ke atas sahabat Baginda.

“Saidina Abu Bakar juga pernah membaca doa ini ketika memerangi golongan murtad seperti Musailamah al-Kazzab, manakala Saidina Umar al-Khattab juga membacanya apabila memerangi golongan Nasrani.

“Malah, ulama juga menyebutkan beberapa sebab lain yang dibolehkan untuk dibaca doa qunut nazilah, antaranya Imam al-Nawawi menyatakan antara sebab dibacakan qunut nazilah ialah umat ditimpa dengan musibah seperti ketakutan, kebuluran, wabak penyakit, serangan serangga dan seumpama.

“Ibn Hajar al-Haitami juga menyebutkan sebab sama dan menambah beberapa lagi sebab lain, termasuk hujan lebat hingga membahayakan keselamatan, penahanan ulama atau pahlawan hebat dan seumpamanya,” katanya.-BH Online