Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan Negeri Sarawak dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan memeterai perjanjian jual dan beli (S&P) bagi saham tambahan dalam Affin Bank Bhd selepas mendapat kelulusan kawal selia yang diperlukan, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

Beliau berkata demikian pada majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri Sarawak dan LTAT bagi meneroka potensi kerjasama, perkongsian maklumat dan penyediaan sokongan antara satu sama lain.

“Berkenaan pengambilalihan saham tambahan dalam Affin Bank oleh Kerajaan Sarawak daripada LTAT, kedua-dua pihak akan laksana perjanjian jual beli apabila mendapat kelulusan kawal selia yang diperlukan. 

“Kami percaya bahawa Affin Bank boleh mempunyai akses kepada rangkaian di bawah Sarawak yang lebih luas di mana ia boleh bekerjasama dan memanfaatkan keupayaan perbankan pelaburan dan perbendaharaannya,” katanya.

Hadir sama pada majlis MoU itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari. 

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Kerajaan Negeri Sarawak akan meningkat pegangan sahamnya dalam Affin Bank kepada sekitar 30 peratus berbanding pada masa ini 4.8 peratus.

Namun, terdapat laporan bahawa perjanjian jual dan beli bagi saham tambahan itu yang difahamkan sepatutnya dimeterai hari ini ditangguhkan.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, Sarawak mempunyai beberapa inisiatif hijau dalam perancangan, dan beliau percaya terdapat peluang untuk Affin Bank mengambil bahagian dan mengembangkan portfolio Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG)

Malah, katanya, sudah pasti, Affin Bank boleh mengembangkan pangkalan pelanggan runcitnya kerana terdapat potensi yang belum diterokai dalam pasaran runcit di Sarawak. 

“Peluang untuk bekerja dengan Affin Bank adalah luas, antara lain dalam bidang mempromosikan pembayaran tanpa tunai dan penggunaan perbankan digital di Sarawak. 

“Selain itu, Affin Bank boleh meneroka kerjasama untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam menyediakan akses kepada pembiayaan mampu milik, sambil meningkatkan celik huruf dan memanfaatkan platform rangkaian Affin Bank.

“Kami percaya ini akan memberi impak tambahan kepada pembangunan Sarawak kerana ini akan menyediakan platform kewangan untuk meningkatkan lagi ekonomi melalui pembangunan PKS dan program keusahawanan serta memberi perkhidmatan kepada Sarawak secara amnya,” katanya.

Abang Johari berkata, bersama pemegang saham yang hebat, Affin Bank akan mengembangkan jangkauannya, meningkatkan inovasi, meningkatkan kecekapan dan menyampaikan nilai pemegang saham. 

Beliau yakin sinergi itu akan mengukuhkan kedudukan Affin Bank sebagai salah satu pemain utama dalam industri kewangan.

“Kerjasama pertama dengan LTAT ini hanyalah permulaan kepada kemungkinan dan peluang yang lebih besar. Sesungguhnya, pemeteraian MoU ini akan mewujudkan platform bagi Sarawak untuk terus mengadakan kerjasama dengan LTAT,” katanya.-BH Online