Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 akan menggayakan busana rekaan pereka fesyen terkemuka tanah air, Rizman Ruzaini pada upacara pembukaan temasya itu yang dijadual berlangsung 27 Julai ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata satu majlis pelancaran pakaian rasmi perarakan masuk kontinjen negara itu akan diadakan pada 24 Julai ini.

“Baju rasmi perarakan untuk Olimpik tahun ini adalah di bawah MSN (Majlis Sukan Negara) dan kita sudah dapatkan khidmat pereka terkemuka Rizman Ruzaini.

“Itu sahaja yang saya boleh nyatakan. Saya percaya atlet kita apabila pakai baju itu pada hari perasmian Olimpik akan jadi kebanggaan kepada mereka.

“Kita utamakan ciri-ciri mereka adalah rakyat Malaysia dan keselesaan atlet. Saya sudah tengok, apa yang saya boleh katakan adalah elegan,” katanya ketika ditemui Majlis Pelancaran Aplikasi Sistem Pengurusan Sukan Udara (SAMS) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hannah menjelaskan, pihaknya sedia untuk melakukan kerjasama dengan Persekutuan Sukan Udara Malaysia bagi mengenal pasti aspek-aspek yang boleh dibangunkan dalam kursus Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Beliau percaya, aktiviti udara yang sudah dikategorikan sebagai sukan itu mampu menarik minat murid-murid di sekolah untuk lebih berminat dan mendalami mata pelajaran Sains seperti fizik.

“Seperti kita maklumkan, ini (sukan penerbangan) adalah sukan yang diwartakan dalam akta pembangunan sukan, dipanggil sebagai sukan udara. Selepas diwartakan, peralatan yang mereka gunakan boleh mendapat pengurangan cukai sehingga RM1,000.

“KBS mahu mewujudkan kerjasama dengan persatuan ini untuk melihat bagaimana (kami) boleh bangunkan kursus-kursus TVET kerana kita mahu TVET bawah KBS lebih kepada industri sukan,” katanya.-BH Online