Sorting by

×
Foto: Bernama
Hantar Berita Ini:

Sarawak menjadi bahagian penting dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku pertama 2024, menarik RM4.2 bilion dalam pelaburan yang diluluskan, meletakkannya di tempat negeri keempat dari segi aliran nilai pelaburan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata negeri itu berpotensi menjadi peneraju menarik pelaburan ekonomi hijau melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakannya termasuk pengeluaran tenaga hidrogen hijau.

Beliau berkata, inisiatif Sarawak ke arah ekonomi hijau itu juga seiring dengan perancangan masa panjang Malaysia dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

“NETR dan NIMP 2030 semuanya memerlukan tenaga hijau. Apa yang kita mahukan ketika ini adalah tenaga hijau yang kompetetif. Ini kerana fokus Malaysia dalam pelaburan ketika ini ada dua iaitu ekonomi hijau dan ekonomi digital.

“Ekonomi digital juga turut memerlukan ekonomi hijau. Justeru, langkah Sarawak adalah penting kepada Malaysia katanya selepas Siri Pelaburan MIDA Sarawak – Merungkai Potensi Perniagaan di Kuala Lumpur, hari ini,

Yang turut hadir, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

Tengku Zafrul berkata, langkah Sarawak ke arah menarik lebih banyak ekonomi hijau juga bertepatan dengan strategi pelaburan hijau Malaysia berpaksikan tujuh teras utama rendah karbon di bawah pelan NETR dan NIMP 2030, iaitu kecekapan tenaga, tenaga boleh baharu, biotenaga hidrogen, mobiliti hijau (darat, laut dan penerbangan), pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) dan ekonomi kitaran.

Beliau berkata, agenda tenaga hijau Sarawak yang bertujuan untuk menyahkarbonkan sistem pengangkutannya dan peralihan ke arah ekonomi rendah karbon adalah pelengkap kepada strategi peringkat kebangsaan.

Katanya, usaha Sarawak jelas mendapat momentum kukuh seperti Pelabuhan Bintulu, pelabuhan air dalam utama di dalam industri maritim Malaysia yang mendahului dalam pelaksanaan tadbir urus, sosial dan alam sekitar (ESG).

“Sarawak juga jelas memainkan kekuatan semula jadinya yang mempunyai banyak sumber asli dan tanah yang luas untuk pembangunan tenaga boleh diperbaharui.

“Ini akan meletakkan Sarawak dengan baik untuk menarik dan memacu pelaburan hijau dalam pembuatan. MITI juga turut melancarkan beberapa inisiatif pembiayaan, termasuk Domestic Investment Accelerator Fund (DIAF) dan Foreign Investment Accelerator Fund (FIAF).

“Dana ini akan menyokong aktiviti ekonomi yang bernilai tinggi, serta menggalakkan inovasi, automasi, pendigitalan serta amalan ESG antara pengeluar dan penyedia perkhidmatan tempatan,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari berkata, Sarawak komited dalam menjadi peneraju ekonomi hijau serta pengeluar tenaga boleh diperbaharui terbesar di rantau ini.

Beliau berkata, ini melalui pelaksanaan tenaga hidrogen hijau, solar skala besar, biotenaga termasuk biogas dan biojisim, sisa kepada tenaga, penyimpanan hidro pam yang boleh digunakan secara komersial di Sarawak.

Justeru, katanya,terdapat peluang besar untuk pelabur bekerjasama dengan Sarawak dan mengembangkan sektor penjanaan tenaga bersih.

“Sarawak yakin tenaga boleh diperbaharui terutamanya dalam hidrogen dapat memberi manfaat bukan saja kepada negeri tetapi Malaysia.

“Hidrogen hijau jika dilaksanakan sepenuhnya kelak selain kegunaan domestik (Sarawak) ia juga boleh dieksport ke Semenanjung serta negara jiran seperti Indonesia, Brunei dan Singapura.

“Malah, ia juga dapat menarik pelabur asing kerana penggunaan tenaga yang lebih mesra dan mampan. Tarif elektrik yang akan dikenakan juga boleh menjadi lebih kompetetif, menarik minat pelabur untuk menjadikan Sarawak destinasi pelaburan mereka,” katanya.-BH Online