Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Fasa pertama projek pembinaan Taman Perindustrian Sistem Binaan Berindustri (IBS) di Sungai Bagan, Machang yang berkeluasan lebih 80 hektar dijangka siap sepenuhnya pada Mac tahun depan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata fasa pertama pembinaan kini sudah mencapai kemajuan sebanyak 50.5 peratus merangkumi penyediaan infrastruktur.

Katanya, antara skop bagi pembangunan fasa pertama merangkumi penyediaan infrastruktur untuk 47 lot perindustrian, 60 lot komersial, satu lot Pusat Kecemerlangan IBS, bangunan fasiliti, jalan, sistem perparitan dan sistem kumbahan melalui peruntukan Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang bernilai RM90 juta.

“Pembangunan fasa pertama sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) bermula pada 15 Ogos 2022 dilaksanakan oleh Perbadanan Kemajuan Iktisas Negeri Kelantan (PKINK).

“Ini menunjukkan satu gambaran yang jelas dan sentiasa berganding bahu, di mana Kerajaan Persekutuan memperuntukan RM90 juta kepada kerajaan negeri bagi kerja-kerja pembangunan infrastruktur, manakala kerajaan negeri pula menyediakan tanah untuk projek pembinaan Taman Perindustrian IBS,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi di tapak pembangunan Taman Perindustrian IBS) di Mukim Joh, Labok dekat sini.

Ahmad berkata, Taman Perindustrian IBS itun adalah hasil kerjasama di antara Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Kerajaan Negeri Kelantan yang dimeterai pada Oktober 2021. 

“Pembangunan taman perindustrian ini bertujuan untuk menyediakan keperluan jaringan ekosistem strategik IBS khususnya bekalan bahan binaan dan tenaga mahir khususnya di Wilayah Pantai Timur,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, adalah menjadi harapan kerajaan untuk melihat usaha merangka dan membangunkan Taman Perindustrian IBS tidak terhenti hanya di sini, sebaliknya dapat menjadi penyumbang utama kepada pembangunan sosioekonomi dalam industri pembinaan.

“Pada masa sama, kita juga mahu ia menjadi ‘role model’ untuk diadaptasikan di kawasan atau wilayah lain yang dikenal pasti bagi meneraju industri serta melengkapkan jaringan ekosistem strategik IBS.

“Hasrat ini dapat dicapai sejajar dengan perancangan pembangunan Taman Perindustrian IBS yang dapat memberi 3,500 pelbagai peluang pekerjaan khususnya bagi sektor pembinaan,” katanya.

Beliau berkata, komitmen yang dibentuk oleh penggiat industri tempatan dan disokong oleh Kerajaan Persekutuan menjadikan Taman Perindustrian IBS sebagai peneraju merancakkan ekonomi industri pembinaan khususnya di wilayah Pantai Timur.

“Selain itu, ia juga boleh dijadikan contoh untuk diadaptasikan di enam wilayah lain termasuk Zon Utara, Zon Tengah, Zon Selatan, Sabah dan Sarawak bagi melengkapkan jaringan ekosistem strategik IBS di seluruh negara,” katanya.-BH Online