Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pendidikan (KPM) mengalu-alukan pembabitan pesara guru dalam usaha menyediakan persekitaran bagi membantu meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris di kawasan pedalaman.

Malah, Menterinya, Fadhlina Sidek berkata golongan pesara guru sememangnya sudah banyak membantu usaha KPM untuk meningkatkan tahap pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata kerajaan tidak menolak sekiranya ada sukarelawan dari Singapura yang mahu membantu Malaysia bagi mencapai tujuan sama.

“Kita memang mengalu-alukan jika sukarelawan (dari) Singapura atau pesara guru yang mahu turut serta (membantu meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris di kawasan pedalaman).

“Tiada masalah kerana ini (pembabitan pesara guru) sebenarnya sudah ada. Pogram HIP Mentor sudah pun dilaksanakan dengan pesara guru membantu menyediakan persekitaran bahasa Inggeris di sekolah, melalui pelbagai pendekatan dan aktiviti lebih menarik.

“Program ini membolehkan pesara guru dan pensyarah Bahasa Inggeris menyokong dan membantu dalam persekitaran imersif di sekolah, selaras objektif memperkasa penguasaan bahasa Inggeris,” katanya pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai kemungkinan pembabitan pesara guru menyediakan persekitaran bagi membantu meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris di kawasan pedalaman.

Sebelum ini Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan cadangan membawa tenaga pengajar bahasa Inggeris dari Singapura, hanya sebagai sukarelawan bagi membantu meningkatkan penguasaan bahasa itu di kawasan pedalaman.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, cadangan itu ibarat skim bantuan daripada segi diplomasi antara negara, bukan bermaksud Malaysia mahu melantik guru Bahasa Inggeris dari Singapura.

Sementara itu, Fadhlina berkata, aspek pemantauan ke atas tenaga pengajar Bahasa Inggeris dari Singapura yang menyertai program berkenaan akan dilakukan KPM

“KPM akan meneliti cadangan ini dan memastikan semua aspek berkaitan akan dipantau bagi memastikan objektif program ini tercapai,” katanya menjawab soalan tambahan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam).

Menjawab soalan asal, Fadhlina berkata, KPM akan mengenal pasti sukarelawan dengan kelayakan tertentu bagi menjamin kualiti PdP, selain inisiatif berkenaan pernah dilaksanakan KPM, membabitkan tenaga pengajar dari Australia, Amerika Syarikat dan Korea.

“Skim ini bertujuan membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris murid di kawasan miskin bandar, pinggir bandar dan luar bandar, termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya.-BH Online