Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Kerja Raya (KKR) sedia menambah baik prosedur operasi standard (SOP) dalam pembinaan projek lebuh raya bagi mengelak kemalangan, khususnya sehingga mengakibatkan insiden maut.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanti Linggi, berkata penambahbaikan itu bagi memastikan SOP ditetapkan benar-benar memberi impak dalam mengelakkan kesan buruk kepada proses pelaksanaan mana-mana projek.

“SOP ini memang sudah ditetapkan tetapi kita sentiasa melihat sekiranya ada ruang dan peluang untuk ditambahbaik… ia tidak jadi masalah.

“Kita berusaha untuk menyesuaikan SOP dan mahu menggunakan cara terbaik kerana ia bersifat dinamik dan bukannya statik,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) yang mahu tahu sama ada kerajaan bercadang untuk memperkemaskan SOP membabitkan projek pembinaan lebuh raya berhampiran laluan awam. 

Halimah juga ingin tahu sama ada kerajaan boleh mendedahkan laporan siasatan berhubung insiden maut dalam projek pembinaan lebuh raya supaya aspek tertentu boleh dipelajari kontraktor lain

Alexander berkata, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mendedahkan kajian terbabit bagi makluman orang awam, sekiranya kemalangan berlaku dalam skala besar hingga meragut nyawa.

Sementara itu, beliau berkata KKR akan mengambil langkah bersama Jabatan Pengairan Saliran (JPS) untuk melakukan kajian sama ada banjir berlaku berhampiran Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah (LPB) di Penampang, Putatan dan Inanam, disebabkan projek terbabit.

“Kita akan berhubung dengan JPS untuk bersama-sama membuat kajian sama ada benar atau tidak banjir itu disebabkan projek LPB dan jika benar apakah langkah boleh dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah terbabit,” katanya.

Beliau berkata, namun berdasarkan simulasi banjir dibuat di kawasan berisiko tinggi dan hasil mendapati bahawa pembinaan projek LPB Sabah ini tidak memberi kesan signifikan kepada kawasan terbabit.

Sebaliknya, katanya antara punca utama insiden banjir dikenal pasti termasuklah taburan hujan luar biasa yang menyebabkan sungai berhampiran tidak mampu menampung kapasiti itu.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Semporna) berhubung mengapa tiada tender terbuka dilaksanakan membabitkan lantikan syarikat di empat pakej Fasa 1 LPB Sabah, Alexander berkata, proses itu menggunakan pendekatan pra-kelayakan.

Beliau berkata, KKR melaksanakan lantikan kontraktor dalam Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah secara tidak terlalu terbuka, kerana tidak mahu adanya syarikat tiada berkemampuan yang menyertai proses tender.

“Ia sekali gus berisiko menyebabkan masalah terhadap pelaksanaan projek berkenaan,” katanya.

Tambah Alexander lagi, Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor berjaya bagi semua 16 pakej kerja dalam perolehan dijadualkan dapat dikeluarkan pada suku ketiga tahun ini.

Katanya, sebanyak empat pakej berjaya disiapkan dan dibuka untuk pengguna jalan raya manakala baki 15 pakej kerja sedang di peringkat pembinaan dan 16 pakej kerja di peringkat perolehan.