Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Luar mengesahkan Malaysia sudah menandatangani keseluruhan 42 perjanjian berkaitan sempadan dengan beberapa negara jiran setakat ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia membabitkan 33 perjanjian berkaitan sempadan darat, manakala baki sembilan lagi untuk sempadan maritim.

Dalam konteks Indonesia, beliau berkata Malaysia sudah hampir memuktamadkan keseluruhan persempadanan darat dengan 94.2 peratus keluasan kawasan itu dimeterai melalui 22 perjanjian atau perjanjian persefahaman (MoU).

Ia membabitkan jarak sepanjang 1,943.2 kilometer (km) berbanding keseluruhan 2,064km kawasan persempadanan darat Malaysia-Indonesia.

Mengenai persempadanan maritim pula, katanya, Malaysia-Indonesia sudah memeterai Triti Selat Melaka dan Triti Laut Sulawesi di Putrajaya pada 8 Jun 2023 dengan ia akan dikuatkuasakan dan dilaksana sepenuhnya selepas proses dalaman kedua-dua pihak disempurnakan kelak.

Untuk persempadanan darat Malaysia-Brunei pula, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau meliputi jarak sepanjang 528.45km sedang dalam proses rundingan bagi memuktamadkan sebarang perjanjian atau MoU.

“Ketika ini, kerja penandaan dan pengukuran di lapangan sudah berjaya dilaksanakan kedua-dua negara, meliputi jarak sepanjang 175.96km atau 33.3 peratus daripada keseluruhan jaraknya.

“Kedua-dua pihak sedang berusaha menyelesaikan isu persempadanan berpandukan garis masa dipersetujui, iaitu selewat-lewatnya pada 2034.

“Malaysia akan terus berunding dengan Indonesia dan Brunei melalui mekanisme dua hala sedia ada bagi memuktamadkan persempadanan darat dan maritim,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Datuk Henry Sum Agong (GPS-LAWAS) mengenai usaha menentukan garisan sempadan darat dan maritim antara Malaysia, Brunei dan Indonesia.

Menjawab soalan tambahan, Mohamad berkata, kerajaan sentiasa mengambil perhatian dan terus berunding, namun sebarang pemeteraian perjanjian persempadanan maritim atau darat hanya akan dilaksanakan selepas mengambil kira perkara menyentuh sensitiviti dan rundingan bersama kerajaan negeri.

“Ini kerana, sempadan darat atau maritim membabitkan isu kedaulatan yang amat sensitif dan Malaysia akan sentiasa berhati-hati sebelum menandatangani sebarang MoU, perjanjian atau triti maritim supaya semua pihak, terutama kerajaan negeri dapat diurus sebaiknya,” katanya.

Mengulas kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Mengkalap dan Merapok pula, beliau berkata ia sudah dibangkitkan dalam mesyuarat dua hala Malaysia-Brunei yang membincangkan perihal mengurus masalah imigresen kerana terdapat banyak titik pemeriksaan perlu dilalui, menyebabkan kesesakan untuk keluar masuk

“Pelbagai rundingan sudah diadakan dan minggu depan saya akan ke Brunei untuk menghadiri mesyuarat ‘exchange of letters’, selepas pegawai kanan kedua-dua negara mengadakan rundingan untuk mencapai kesepakatan terus memastikan persefahaman persempadanan darat Malaysia-Brunei, baru-baru ini,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, terdapat beberapa tafsiran berbeza antara Malaysia dan negara jiran menerusi perundangan laut antarabangsa di bawah ‘United Nations Convention on the Law of the Sea 1982’ menyebabkan pertindihan persempadanan maritim.

“(Tafsiran) kita berasaskan kebenaran, terutama ‘intertidal’ (zon pasang-surut) dalam perundangan antarabangsa ialah daratan, tetapi tafsiran negara jiran kata laut. Jadi kita perlu duduk dan isu seperti ini tidak menjejaskan hubungan dua hala,” katanya menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu).

Mengenai pembangunan kawasan persempadanan, beliau berkata, ia akan dilaksanakan satu persatu, namun sebarang urusan berkaitan perniagaan adalah seliaan Kementerian Ekonomi.

“(Aktiviti ekonomi di persempadanan) memang di bawah radar kami untuk memastikan hubungan dua hala kedua-dua negara dilakukan dari segi pembangunan ekonomi.

“Seperti dilakukan sekarang, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Singapura, kita membangunkan zon istimewa Johor-Singapura,” katanya.-BH Online