Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) sedang giat menjalankan penyelidikan berkaitan impak kehadiran bahan cemar baharu terhadap kualiti air di beberapa lembangan sungai di Malaysia di bawah Rancangan Malaysia ke-12,.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata bahan cemar berkenaan termasuk bahan pengganggu endokrin (EDCs), kerintangan antimikrob (AMR) dan juga mikroplastik.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, bahan cemar baharu yang menjadi tumpuan di peringkat antarabangsa adalah pencemaran berkaitan mikroplastik dalam sumber air di Malaysia.
“Mikroplastik mengikut takrifan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah serpihan plastik bersaiz kurang daripada 5 mm dan ia memasuki sistem sungai melalui beberapa cara, terutamanya dari larian air permukaan, efluen air sisa (terawat dan tidak dirawat), efluen perindustrian dan sisa plastik terurai,” kata beliau.
Fadillah berkata demikian dalam ucapannya sempena Seminar Mikroplastik Kebangsaan Pertama anjuran NAHRIM bersama Frontier Laboratory Ltd., Japan dan Persatuan Penyelidikan Air Malaysia, di sini hari ini.-BH Online