Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Agrobank mengukuhkan komitmennya terhadap kesejahteraan peneroka FELDA melalui peruntukan RM200 juta di bawah program pembiayaan Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) untuk generasi kedua peneroka.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, berkata melalui program pembiayaan PGBF, Agrobank menyediakan akses pembiayaan kediaman mampu milik kepada individu yang layak dengan peruntukan besar pada tahun ini.

Beliau berkata, pihaknya turut menambahbaik syarat pembiayaan bersama kadar faedah lebih rendah.

“Kita mensasarkan 2,000 permohon sehingga separuh penggal tahun depan melalui peruntukan RM200 juta ini. Jumlahnya akan ditambah sekiranya terdapat permintaan,” katanya.https://842bc0882585a9fad8228c4c2026fce6.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-40/html/container.html?n=0

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis penyerahan replika cek RM200 juta bagi program PGBF sempena Hari Peneroka Felda 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Pengerusi Agrobank, Datuk Yunos Abdul Ghani dan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan (ANGKASA), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah.

Kerjasama erat di antara Agrobank dan FELDA terjalin sejak 2020 dan individu yang layak akan menerima pinjaman RM50,000 hingga RM100,000 dengan 100 peratus pembiayaan, termasuk yuran guaman dan lain-lain.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata, program itu sebahagian daripada usaha berterusan Agrobank bagi memastikan kemudahan pembiayaan berkenaan dapat dimanfaatkan oleh lebih ramai peneroka di seluruh negara.

“Setakat ini, sebanyak 1,527 permohonan sudah diterima merangkumi jumlah dana RM137 juta. Daripada jumlah itu, 566 permohonan sudah diluluskan melibatkan dana sebanyak RM59 juta.

“Terdapat permohonan yang ditolak kerana individu berkenaan sudah mendapatkan pembiayaan lain dan tidak menepati pembayaran seperti direkodkan dalam senarai CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS),” katanya.-BH Online