Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan akan ke Laos minggu depan bagi menghadiri mesyuarat Menteri Luar ASEAN yang antara lain dijangka membincangkan isu Myanmar dan Laut China Selatan. 

Persidangan dijadual selama lima hari, bukan sahaja membabitkan negara ASEAN, tetapi juga bersama rakan dialog, termasuk Amerika Syarikat (AS), Russia, China, Jepun, Australia, New Zealand, India dan United Kingdom (UK).

Mohamad yang ditemui media selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Tenggara di Felda Sungai Sayong, dekat sini hari ini, berkata 19 siri mesyuarat merangkumi pelbagai topik dijadual dibincangkan di Laos yang menjadi Pengerusi ASEAN tahun ini.

“Ada 19 masyuarat dalam masa lima hari, tidak termasuk mesyuarat dua hala, antara Malaysia dengan Korea Selatan dan dengan negara ASEAN yang lain. Pelbagai perkara akan dibincang, antaranya mengenai Myanmar dan Laut China Selatan. Laos fokus pada isu perhubungan.

“Pada Oktober nanti, pada mesyuarat ketua-ketua negara ASEAN atau Sidang Kemuncak ASEAN, Malaysia akan terima watikah atau obor untuk menjadi Pengerusi ASEAN 2025,” katanya.

Menurutnya, setakat Jun lalu, Malaysia telah menyusun atur sebanyak 257 mesyuarat peringkat tertinggi melibatkan pemimpin negara, menteri dan pegawai yang akan diadakan tahun hadapan.

“Tahun depan, akan tamat konsep 10 tahun Komuniti ASEAN. Kita akan buat konsep Komuniti ASEAN 20 Tahun bermula 2025-2045, bagaimana hendak jadikan ASEAN komuniti besar, baik dari segi ekonomi, pembahagian tenaga, infrastuktur jalan dan sebagainya.

“Menjadikan ASEAN sebagai blok yang punya 600 juta penduduk, GDP (Keluaran Dalam Negara Kasar) kelima terbesar dunia dan akan jadi keempat terbesar dalam masa dua atau tiga tahun lagi.

“Ini asas yang perlu dibina untuk masa depan supaya ASEAN akan jadi satu kesatuan negara, tetapi masih lagi dengan kedaulatan masing-masing dan amalkan dasar berkecuali, iaitu ASEAN bebas, aman dan berkecuali. 

“Kita hendak lihat juga macam di Laut China Selatan, kebebasan, aman dan berkecuali. Kita tidak mahu ada kuasa lain datang ganggu gugat keamanan di rantau Asia Tenggara ini,” katanya.-BH Online