Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San, mengumumkan tiada kekosongan luar jangka kerusi DUN Selat Klang yang disandang Datuk Abdul Rashid Asari.

Menurutnya, pemberhentian keahlian ADUN Selat Kelang dalam BERSATU didapati sebagai satu pemecatan terancang (constructive expulsion) di bawah operasi Perkara LXVA 2(c) Perlembagaan Negeri Selangor.

“Notis dan bukti dari Yang Berhormat Hulu Kelang (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) tidak memenuhi beban pembuktian yang diperlukan untuk membuktikan yang sebaliknya.

“Dengan ini, saya mengisytiharkan bahawa kerusi DUN Selat Klang tidak dikosongkan,” katanya pada sidang DUN Selangor, di sini hari ini

Mengulas lanjut katanya, terdapat satu ungkapan ‘Rule of Equity’ dalam Perkara berkenaan yang berbunyi ‘Those who seek equity must come with clean hand and do equity’.

“Intihanya, selamat untuk disimpulkan atas skala pertimbangan kebarangkalian atau ‘balance of probability’, bahawa tiada bukti yang mencukupi untuk mengesahkan berlakunya kekosongan luar jangka,” katanya.

Jelas beliau, berdasarkan semakannya termasuk dalam Fasal 10 dan Fasal 22 Perlembagaan BERSATU menimbulkan dapatan tiada bukti dokumen yang membuktikan perlembagaan parti tersebut berkuat kuasa secara retrospektif iaitu sebelum 1 April 2024. 

“Tindakan Abdul Rashid yang menyokong kepimpinan Datuk Seri Amirudin Shari dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu pada Mei lalu bukanlah satu maklumat pertama. 

“Situasi ini adalah peristiwa yang berasal daripada kedudukannya pada 6 Mac lalu dan berlaku sebelum pindaan Perlembagaan BERSATU berkuat kuasa oleh Pendaftar Pertubuhan bertarikh 1 April lalu,” katanya. 

Sejurus pengumuman itu dibuat, Abdul Rashid bangun dan mengucapkan terima kasih kepada Weng San. 

Media sebelum ini melaporkan Abdul Rashid diberhentikan keahlian BERSATU selepas menyatakan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Mohamed Azmin pada 21 Jun lalu menyerahkan notis kepada Weng San mengenai tindakan BERSATU memberhentikan keahlian Abdul Rashid dan meminta kerusi DUN berkenaan dikosongkan.-BH Online