Kerajaan sedia berbincang bagi meminda akta lompat parti untuk memperbaiki kelompangan yang terdapat dalam undang-undang berkenaan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, Pakatan Harapan (PH) pada 2022 pernah mengusulkan supaya pindaan dibuat kepada akta terbabit, namun ditolak oleh kerajaan ketika itu.
“Dulu kita cadang supaya mana-mana yang ditolak (dibuang) oleh parti, ditolak (mengosongkan kerusi) tapi tidak disetujui oleh kerajaan masa itu.
“Sebab dia masa tu orang UMNO masuk parti dia, jadi bagi saya kalau nak pinda boleh, kita bincang supaya siapa sahaja (tidak terkecuali). Dahulu dia (pembangkang) menentang, ramai tak tahu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau An-Najah, Presint 9, di sini, hari ini.
Pada 20 Jun lalu, BERSATU mengemukakan notis kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul meminta supaya enam kerusi Parlimen diwakili wakil rakyatnya yang sebelum ini menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikosongkan.
Notis itu dikemukakan berdasarkan peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan, iaitu seseorang ahli Dewan Rakyat hendaklah terhenti menjadi ahli dewan dan kerusinya menjadi kosong apabila tidak lagi menjadi anggota parti politik.
Bagaimanapun, Johari dalam keputusannya menolak permohonan BERSATU bagi mengosongkan enam kerusi Parlimen berkenaan.
Keputusan itu bagaimanapun menggemparkan perkembangan politik negara dan mendapat reaksi berbeza daripada pelbagai pihak.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, PH ketika itu mengusulkan supaya siapa sahaja yang ditolak oleh parti, secara automatik digugurkan sebagai Ahli Parlimen.
“Dia (BERSATU) tolak keras sampai kita bertolak ansur dan akhirnya jadi undang-undang (yang ada) sekarang.
“Jadi kalau dia nak pinda, kita boleh bincang, boleh pinda,” katanya.
Terdahulu, kehadiran Anwar menunaikan solat Jumaat di surau berkenaan, menarik perhatian ramai khususnya peminat cilik.
Anwar yang tiba pada jam 12.45 tengah hari, ‘diserbu’ puluhan murid dari sekolah berhampiran untuk bersalaman dengan Perdana Menteri yang ketika itu baru tiba untuk menikmati juadah makan tengah hari di gerai dalam kawasan surau berkenaan.
Perdana Menteri meluangkan masa hampir 30 minit melayan kehendak murid berkenaan yang mahu bersalaman dan bergambar dengannya.
Anwar yang lengkap berbaju Melayu warna biru kemudiannya ke ruangan surau untuk menunai solat Jumaat dan turut mendengar khutbah bertajuk bertajuk Perihal Mizan (Timbangan Akhirat) yang disampaikan imam, Hazim Malim.-BH Online