Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia untuk memanjangkan tempoh sah laku pasport antarabangsa Malaysia sehingga 10 tahun dalam tempoh terdekat.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya sebelum ini pernah memaklumkan mengenai kajian dan libat urus yang dijalankan berkenaan kesesuaian untuk melaksanakan perkara itu.

“Kita sudah bersedia mengeluarkan pasport untuk tempoh 10 tahun. Buat masa sekarang, tempoh sah laku pasport kita selama lima tahun. 

“Ini (pasport dengan tempoh sah laku 10 tahun) bukanlah satu perkara baharu. Negara jiran kita seperti seperti Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura telah keluarkannya. Malah, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis juga mengeluarkan pasport dengan tempoh sah laku 10 tahun.

“Jadi kita sudah bersedia, tetapi tarikh pelaksanaannya itu kita akan umumkan supaya rakyat ada pilihan,” katanya ketika sidang media selepas perasmian Pejabat Pasport bertempat di Lapangan Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh dan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi.

Dalam pada itu, Saifuddin melahirkan rasa bangga berikutan pasport antarabangsa Malaysia berada pada tempat ke-12 dalam ranking global, selain tempat kelima di Asia.

“Ukuran reputasi atau kredibiliti sebuah pasport itu dibuat berdasarkan berapa banyak negara boleh memberi pengecualian visa pasport kita.

“Siapa yang pegang dan gunakannya sebagai dokumen perjalanan boleh diberi pengecualian visa di hampir 183 negara. Ini berpandukan kepada indeks Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) 2024,” katanya.

Mengulas program hari ini, Saifuddin berkata pihaknya merasmikan pejabat pasport ke-72 negara, namun ia yang pertama di Malaysia ditempatkan dalam bangunan lapangan terbang.

“Ini yang ketujuh di Sabah. Sebelum ini kita ada di Kota Kinabalu, ibu pejabat Jabatan Imigresen (JIM) Kota Kinabalu, Pusat Transformasi Bandar (UTC) Tawau, UTC Keningau, pejabat JIM Sandakan dan pejabat JIM Lahad Datu.

“Bila kita wujudkan satu lagi di sini, tentunya ia memberi manfaat kepada komuniti berhampiran meliputi daerah Papar, Penampang, Putatan dan Kota Kinabalu… jadi ia memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat,” katanya.-BH Online