Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Persiapan akhir bagi Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 yang dijadual berlangsung pada 20 Julai ini berjalan lancar dan mengikut aturan seperti dirancang.

Menteri Komunikasi merangkap Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong ke-17, Fahmi Fadzil, berkata sempena acara itu, sebanyak 222 ‘wayang pacak’ juga disediakan di seluruh negara bagi memberi ruang orang ramai menyaksikan sendiri perjalanan istiadat itu.

“Saya sudah mengarahkan Jabatan Penerangan untuk mengadakan sejumlah acara dengan Komuniti MADANI.

Kita sudah aturkan 222 ‘public viewing’ supaya komuniti boleh kumpul untuk lihat majlis pertabalan itu.

“Acara itu akan disediakan di seluruh negara, dengan setiap Parlimen satu acara dan saya juga meminta kementerian lain yang ingin lakukan apa-apa acara, kita sarankan untuk dapat bersama-sama,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau berkata, sempena pertabalan itu, antara tetamu undangan khas yang dijadual akan hadir adalah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Bahrain Sheikh Hamad bin Isa Al Khalifa.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim juga berkenan menjemput bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

“Ini adalah acara yang ditunggu-tunggu rakyat Malaysia memandangkan Yang di-Pertuan Agong adalah ketua negara di mana istiadat pertabalan ini ada acara rasmi di mana Tuanku ditabalkan sebagai Agong.

“Ini Istiadat Pertabalan yang unik di dunia di mana ada tiga saja negara mengekalkan proses pelantikan dan pemilihan ketua negara seperti Malaysia. Malaysia mengamalkan sistem penggiliran yang sangat unik. Ini peluang rakyat Malaysia untuk menyaksikan sendiri nanti,” katanya. 

Acara bersempena dengan istiadat pertabalan akan bermula pada 18 Julai ini dengan majlis bacaan Yasin dan doa selamat di Masjid Negara.

Sementara, keesokannya pula ialah bacaan Khutbah Jumaat khas yang memberikan penjelasan serta peringatan kepada umat Islam mengenai kepentingan Institusi Raja Berperlembagaan. 

Masjid di Wilayah Persekutuan dan negeri yang tiada Raja atau Sultan akan menggunakan teks berkenaan, manakala negeri lain tertakluk pada perkenan Raja atau Sultan masing-masing.

Pada malam istiadat pertabalan itu, akan turut diadakan Majlis Santapan Diraja dijadual berlangsung di Istana Negara. 

Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah juga berkenan untuk berangkat ke Hospital Orang Asli Gombak pada 23 Julai, sementara pada 25 Julai akan diadakan Pameran Raja Kita di Muzium Negara yang memaparkan barangan peribadi Seri Paduka Baginda berdua antaranya kad pengenalan dan koleksi pen. 

Acara Istiadat Pertabalan, akan ditutup dengan Jamuan Teh Diraja pada 27 Julai.-BH Online