Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memperoleh potensi eksport berjumlah RM3.3 bilion hasil daripada Misi Perdagangan & Pelaburan selama tiga hari ke Vietnam meliputi Hanoi dan Ho Chi Minh City dari 8 hingga 10 Julai 2024.
Sebanyak 14 syarikat Vietnam komited untuk mendapatkan produk Malaysia, termasuk elektrik & elektronik (E&E), minyak sawit, bahan kimia dan petrokimia, besi dan keluli, makanan dan minuman, serta barangan pengguna.null
Misi ini diketuai oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, diiringi oleh pegawai kanan dari Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Komitmen eksport telah diperoleh daripada pelbagai Pemimpin Industri Vietnam semasa mesyuarat meja bulat serta mesyuarat empat mata antara syarikat Vietnam dan Tengku Zafrul di Ho Chi Minh City pada 10 Julai 2024.
Hasil yang memberangsangkan ini, difasilitasi oleh MATRADE, mencerminkan momentum yang semakin meningkat dalam hubungan ekonomi antara Malaysia dan Vietnam, yang menonjolkan peluang bagi komuniti perniagaan antara kedua-dua negara.
Tengku Zafrul berkata: “Kami gembira dengan potensi eksport RM3.3 bilion daripada misi ke Vietnam. Misi ini juga berfungsi sebagai pemangkin untuk mengembangkan dan memulakan perkongsian strategik antara entiti perniagaan Malaysia dan Vietnam, di samping mengukuhkan kerjasama dua hala antara dua negara.
“Perkara seterusnya adalah untuk memastikan tindakan susulan segera untuk merealisasikan komitmen ini dengan secepat mungkin bagi menyokong pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan peluang pekerjaan untuk rakyat kita,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Misi ke Vietnam itu juga disusuli dengan agenda lawatan rasmi Tengku Zafrul dengan pegawai-pegawai utama negara itu termasuk Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chính; Menteri Perancangan & Pelaburan, Nguyen Chi Dzung dan Menteri Perindustrian dan Perdagangan, Nguyen Hong Dien.
Mesyuarat juga difasilitasi oleh Misi Malaysia di Hanoi, yang diketuai oleh Duta Besar Malaysia ke Vietnam, Datuk Tan Yang Thai.
Tengku Zafrul dan Hong Dien turut bersama mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan Bersama Malaysia-Vietnam edisi keempat (JTC ke-4) di Hanoi pada 9 Julai lalu.
Dilancarkan pada tahun 2009, JTC Malaysia Vietnam berfungsi sebagai platform untuk membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan pengukuhan hubungan perdagangan dan pelaburan bagi kedua-dua negara.
JTC ke-4 memberi tumpuan kepada beberapa penyampaian utama untuk memajukan hubungan ekonomi Malaysia-Vietnam, termasuk kerjasama dalam industri halal, di mana Malaysia akan membantu Vietnam mengenai standard halal, penilaian pematuhan dan akreditasi.
Ia juga membincangkan kemungkinan kerjasama dalam ekonomi hijau, seperti dalam sektor kenderaan elektrik (EV) antara Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dan rakan kongsi berpotensi dari sektor awam dan swasta Vietnam serta tenaga boleh diperbaharui, terutamanya tenaga angin luar pesisir dan darat.
MITI juga membincangkan topik Kepengerusian ASEAN Malaysia pada tahun 2025.
Pada 2023, Vietnam adalah rakan dagang Malaysia yang ke-11 terbesar, manakala Malaysia merupakan rakan dagang Vietnam yang ke-10 terbesar di seluruh dunia.
Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Vietnam adalah AS$17.38 bilion (RM79.42 bilion) pada 2023 merentasi pelbagai sektor termasuk pembuatan, pertanian dan perkhidmatan.
Vietnam juga merupakan destinasi pelaburan penting bagi Malaysia, terutamanya dalam pembangunan hartanah, utiliti, perkhidmatan kewangan dan pembuatan.
Sehingga 2023, syarikat Malaysia melabur dalam 717 projek di Vietnam dengan nilai pelaburan sebanyak AS$13.1 bilion.-BH Online