Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Institusi kewangan di negara ini perlu memberi tumpuan dan penekanan terhadap aspek keselamatan, infrastruktur dan tenaga kerja dalam peralihan kepada operasi digital.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata teknologi baharu khususnya kecerdasan buatan (AI) memainkan peranan penting dalam urusan perbankan, sekali gus membawa anjakan baharu kepada institusi perbankan dan pelanggan.

Justeru, katanya, impak AI turut memberi kesan terhadap urusan perbankan yang pada masa ini kebanyakannya transaksi dilakukan secara dalam talian.

“Bergerak ke hadapan, kita lihat bahawa AI akan mempunyai kesan untuk mengubah lagi cara pengguna berurusan secara dalam talian terutama dengan bank dan institusi kewangan. Jadi, sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam aspek digital, bukan saja institusi kewangan, malah sektor kesihatan dan sebagainya, kita kena pastikan platform digunakan selamat.

“Sebagai kerajaan, kami mengambil langkah mewujudkan undang-undang supaya keselamatan digital adalah terjamin,” katanya kepada media selepas menyampaikan ucapan khas pada Persidangan Perbankan Malaysia kali ketiga 2024 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Institut Bank-bank Bertauliah Asia (AICB), Tan Sri Azman Hashim; dan Pengerusi Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli.

Gobind berkata, bergerak ke hadapan, ekonomi digital menjadi sangat penting dan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Katanya, kerajaan mengunjurkan sumbangan ekonomi digital negara kepada KDNK akan melonjak kepada 25.5 peratus menjelang 2025.

“Saya cukup yakin kita boleh mencapai sasaran itu, malah kita boleh mencapai angka lebih besar,” katanya.

Sementara itu, Azman berkata, sektor kewangan sentiasa menjadi perintis dalam inovasi teknologi dan perbankan telah menggunakan AI dalam rantaian nilainya sejak sekian lama.

“Hari ini, sektor ini melihat dengan teliti peluang yang ditawarkan oleh kecerdasan buatan generatif (GenAI) kerana ia berpotensi untuk membuka potensi kapasiti produktif sebanyak AS$113.4 bilion (RM533 bilion) dalam ekonomi Malaysia.

“Jika mesin pengeluaran wang automatik (ATM) merevolusikan perbankan runcit, genAI akan mengubah semua perniagaan kewangan,” katanya.

Beliau berkata, era GenAI menonjolkan peranan penting dalam memacu sektor kewangan Malaysia ke peringkat seterusnya.

Oleh itu, katanya, dengan perkembangan berkenaan, wujud keperluan untuk bakat perbankan yang sesuai dengan kemahiran dan pengetahuan pada masa hadapan untuk memacu peralihan dikuasakan AI.

“Saya sangat percaya apabila kita melabur untuk pekerja, kita akan membina modal insan untuk masa depan,” katanya.-BH Online